PASIR SALAK: Seorang lelaki mengabadikan perjuangan orang Melayu Sungai Manik di sini menentang komunis semasa darurat pada tahun 1940-an menerusi sebuah galeri pelbagai senjata lama dan antik, dipercayai digunakan oleh penduduk semasa menentang komunis.
Hakim@Hashim Muhammad, 75, yang mewujudkan galeri itu di rumahnya di sini berkata, di galerinya itu terdapat pelbagai koleksi senjata lama dipercayai digunakan semasa penduduk menentang komunis antaranya keris, lembing, pedang dan parang panjang.
Selain itu, dia menyimpan pelbagai barang lama seperti duit kertas dan duit syiling lama ,naskhah al-Quran lama dan gambar-gambar lama suasana di Sungai Manik.
Katanya, dia mengumpul senjata dan barang lama yang diperoleh daripada rumah lama atau rumah usang yang dirobohkan.
“Kebanyakan barangan lama ini saya dapat di sekitar Sungai Manik antaranya rumah yang usang, rumah yang sudah dirobohkan di kawasan sawah padi dan mereka membina rumah baharu. Saya juga ada juga barang lama dalam sawah padi ketika meracun.
“Antara senjata lama ini ialah sebilah pedang yang dikatakan berusia hampir 200 tahun, juga lembing yang didakwa pernah digunakan dalam perang Sungai Manik menentang komunis.
“Galeri ini amat bermakna buat saya kerana di Sungai Manik ini tercatat sejarah yang cukup dikenali apabila penduduk menentang komunis pada tahun 1940-an atau dikenali Peristiwa Perang Sabil Sungai Manik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hakim yang merupakan bekas ketua kampung berkata, dia sememangnya minat mengumpul barang lama dan barangan antik apatah lagi berkaitan dengan sejarah perjuangan penduduk di sini menentang komunis.
“Saya berharap galeri ini menjadi bukti sejarah perjuangan orang dahulu berjuang mempertahan negara menjadi tatapan generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN











