JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) digesa untuk bertolak ansur dan menunjukkan semangat kerjasama dengan menyerahkan satu kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk ditandingi calon dari Barisan Nasional (BN).
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berkata, tindakan sedemikian akan membuktikan bahawa kerjasama politik antara PH dan BN bukan kerana kuasa dan jawatan semata-mata.
Menurut beliau, PH boleh menyerahkan salah satu antara kerusi Parlimen Pulai atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang akan berdepan PRK, 9 September depan.
“Selain daripada tanda kerjasama antara dua pihak, kita juga bimbang sekiranya kedua-dua kerusi itu ditandingi calon daripada PH sahaja, penyokong BN tidak akan keluar mengundi.
“Jadi untuk mengelakkan perkara itu berlaku, satu kerusi boleh diberikan kepada BN. Malah kedua-dua kerusi itu juga mempunyai jumlah peratusan pengundi yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Pandak yang merupakan bekas Setiausaha Kerja UMNO Johor itu lagi, tindakan tersebut wajar kerana sokongan masyarakat kepada BN dan UMNO di negeri ini masih tinggi.
“Kita akui BN dan UMNO telah menunjukkan rekod pencapaian kurang baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini apabila memenangi hanya 19 kerusi daripada keseluruhan 108 kerusi yang ditandingi.
“Namun kita percaya situasi di Johor sebaliknya, sokongan rakyat terhadap BN dan UMNO masih kukuh, malahan semasa PRN Johor lalu, kita menang dengan majoriti selesa iaitu 40 kerusi daripada keseluruhan 56 yang dipertandingkan,” jelasnya lanjut.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.
PRK tersebut diadakan ekoran kekosongan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – UTUSAN











