KUALA LUMPUR: UMNO perlu melihat semula sokongan orang Melayu terhadap parti itu selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berakhir kelmarin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu perlu dilakukan dari sekarang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan pada 2027.
“Kita kena melihat semula sama ada cara UMNO ditadbir selama ini dapat terus menarik sokongan orang Melayu pada masa akan datang,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri, semalam.
Dalam pada itu katanya, UMNO juga perlu menerima hakikat bahawa di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang parti itu sudah hilang sokongan orang Melayu.
“Dalam negeri yang agak baik pembangunannya, UMNO juga hilang sokongan orang Melayu. Contohnya, di Pulau Pinang, UMNO hanya menang dua daripada enam kerusi, Selangor dua daripada 12. Di Negeri Sembilan, sokongan orang Melayu juga menurun.
“UMNO menang hanya 14 daripada 17 kerusi yang dipertanding. Kebanyakan kawasan yang UMNO menang majoriti pun agak kecil jika dibanding dengan PRU14 lalu (16 kerusi),” katanya.
Sehubungan itu katanya, pemimpin UMNO di semua peringkat harus bertanggungjawab atas kekalahan BN dalam PRN kelmarin.
Beliau berkata, tanggungjawab itu termasuklah kepada lima pimpinan tertinggi UMNO iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden selain Majlis Tertinggi (MT) dan Ketua-Ketua Bahagian di setiap negeri.
“Saya secara peribadi, walaupun baru lima bulan menjawat jawatan Naib Presiden turut bertanggung jawab atas kekalahan ini,” katanya. – UTUSAN










