KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan perpaduan tidak tergugat dan akan terus bekerja lebih kuat dalam membangunkan ‘Malaysia Madani’.
Menurut Perdana Menteri, dalam sistem demokrasi keputusan pilihan raya sama ada diterima atau tidak, parti harus menghormati keputusan rakyat.
“Hormat dalam erti kata bersedia menerima keputusan dengan baik. Kalau ada apa permasalahan pun segala perundangan, protes itu dibuat mengikut jalur hukum dan juga peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Bagi pihak kerajaan pepaduan, saya ingin beri jaminan terutama kerajaan Persekutuan yang terus kekal dan kukuh selepas PRN ini, kita akan terus bertungkus-lumus bekerja, berkhidmat sesuai dengan hasrat membangun Malaysia Madani dan dasar ekonomi Madani yang telah kita umumkan baru-baru ini.
“Insya-Allah mulai Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa, tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia akan mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya ketika berucap selepas mengikuti perkembangan keputusan pilihan raya negeri (PRN) bersama pimpinan kerajaan perpaduan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam semalam.
Jelas Anwar, kini masanya semua pihak menumpukan perhatian kepada membangunkan negara dan rakyat.
“Jadi setelah bertarung bersungguh-sungguh, kadang-kadang suhunya agak panas. Ini waktunya semua rakyat dari semua parti menang atau kalah harus bersilaturahim, menjaga keamanan negara dan menumpukan perhatian menaikkan martabat negara serta membela nasib rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi berkata, mandat yang diperoleh selepas PRN menjadi asas kepada kebersamaan parti-parti di bawah kerajaan perpaduan untuk terus bekerjasama.
Presiden UMNO itu berkata, mandat tersebut juga akan memperkasa sinergi bagi mengekalkan kerajaan yang ditadbir Perdana Menteri untuk tempoh lima tahun akan datang.
“BN bersama rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan PRN enam negeri yang telah diterjemah oleh rakyat.
“Kini, masa untuk kita bersatu hati dan terus bekerja keras demi memastikan perpaduan dipelihara, kestabilan dijaga demi kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN










