PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan ramalan perdagangan runcit berkembang 15.3 peratus pada 2023 disokong oleh pasaran buruh yang berdaya tahan, kekurangan tekanan inflasi, peningkatan dalam aktiviti pelancongan dan sokongan dasar ekonomi.
Menurut MIDF Research, jualan perdagangan pengedaran Malaysia meningkat kepada kadar dua digit iaitu 9.1 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama tahun kalendar 2023.
“Semua komponen terutamanya jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit bertambah baik sebanyak 12.6 peratus tahun ke tahun dan 13.3 peratus tahun ke tahun manakala perdagangan borong meningkat sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun.
“Walaupun terdapat kebimbangan terhadap inflasi, permintaan pengguna kekal teguh seperti yang ditunjukkan dalam prestasi jualan perdagangan pengedaran.
“Melangkah ke hadapan, momentum permintaan dalam negeri yang menggalakkan dijangka berterusan pada 2023 disokong oleh pasaran buruh yang berdaya tahan, kekurangan tekanan inflasi, peningkatan dalam aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong.
“Kami mengekalkan ramalan untuk pertumbuhan perdagangan runcit pada 15.3 peratus untuk tahun ini,” katanya dalam nota kajian.
Mengulas mengenai prestasi perdagangan runcit Malaysia, MIDF Research berkata, pertumbuhan perdagangan runcit Malaysia dicatatkan pada 5.8 peratus tahun ke tahun pada Jun Lalu, lebih baik sedikit daripada bulan sebelumnya.
Pada asas bulanan, perdagangan runcit bukan pelarasan bermusim meningkat sebanyak 1.0 peratus bulan ke bulan, manakala angka pelarasan musim menurun pada kadar yang lebih rendah sebanyak 2.9 peratus bulan ke bulan.
Jualan perdagangan pengedaran keseluruhan meningkat sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun, namun ia adalah kadar paling perlahan sejak Januari 2022.
Perdagangan borong pula meningkat sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun, manakala jualan kenderaan bermotor meningkat sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun.
Bagi separuh pertama tahun kalendar 2023, pengedaran jualan perdagangan meningkat sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun manakala jualan runcit meningkat sebanyak 13.3 peratus tahun ke tahun.
“Menjelang suku tahun, jualan perdagangan pengedaran berkembang sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun, yang menandakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sederhana pada suku tersebut.
“Namun begitu, kami berpendapat momentum peningkatan permintaan domestik yang disokong oleh pasaran buruh yang stabil, tekanan inflasi yang lemah, peningkatan dalam aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong akan terus meningkatkan pertumbuhan KDNK separuh kedua tahun kalendar 2023 serta kadar pengembangan keseluruhan 2023,” katanya. – UTUSAN









