RAKYAT di Semenanjung sudah membuat keputusan yang jelas mengenai siapa yang mereka mahu mewakili mereka pada pilihan raya negeri (PRN) 2023.
Keputusan PRN kelmarin jelas menunjukkan sokongan pengundi Melayu and Cina telah diberikan.
PRN bukan sahaja penting bagi rakyat di enam negeri yang bertanding tetapi implikasi lebih besar ialah PRN kali ini adalah ujian ke atas sokongan rakyat Semenanjung khasnya orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Umumnya, atas permukaan keputusan kelmarin memperlihatkan kedudukan sama atau status quo dari segi siapa kembali memerintah di enam negeri. Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kembali semula memerintah dengan memperoleh majoriti cukup di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Sementara itu Perikatan Nasional (PN) mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan (Gerakan) kembali memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Jadi, apa yang berubah? Semacam tiada perubahan tetapi apabila kemenangan setiap blok yang bertanding dikaji dengan sedikit mendalam, maka perubahan dari segi siapa menang dan siapa kalah menjadi ketara dalam PRN 2023.
Di Kelantan, PN ‘menendang’ keluar PH dan sekutunya. Dari 37 kerusi yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PN hampir menyapu bersih 45 kerusi. Dua kerusi gagal dimenangi, tetapi jumlah 43 itu melebihi paras dua pertiga dan lebih baik dari prestasinya pada PRU14 di mana Pas hanya menang 37 kerusi.
Di Terengganu, PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi yang ada di negeri berkenaan apabila ia merampas 10 kerusi yang dahulunya dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Di Kedah, PN juga menunjukkan prestasi yang meningkat. Dari 20 kerusi yang dimenangi pada PRU14, berjaya menawan 33 kerusi, meninggalkan 3 kerusi sahaja kepada PH-BN.
Di tiga negeri yang mereka kuasai sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, prestasi PN meningkat. Ketiga-tiga negeri adalah negeri Melayu yang mempunyai lebih 75 peratus penduduk Melayu seperti di Kedah dan setinggi lebih kurang 95 peratus di Kelantan dan Terengganu.
Di tiga negeri yang dikuasai PH, PN menunjukkan prestasi meningkat. Di Selangor, PN hanya ada satu kerusi pada PRU14 tetapi pada PRN, PN menang 22 kerusi. Ini agak luar biasa dan pasti membanggakan. Di Pulau Pinang, PN ada 1 kerusi pada PRU14 tetapi jumlah itu telah meningkat kepada 11 kerusi pada PRN. Begitu juga di Negeri Sembilan yang mana PN tidak mempunyai sebarang kerusi pada PRU14 tetapi kali ini menang lima kerusi.
SOKONGAN BERALIH
Justeru, walaupun kedua-dua blok parti bertanding itu mengekalkan kerajaan negeri masing-masing, tetapi peralihan sokongan menunjukkan bahawa PN menang moral dan sebenarnya mengatasi PH dan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan PRN menunjukkan dengan jelas beberapa perkara dan andaian umum yang semua sudah maklum. Pertama, Melayu Semenanjung mengatakan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak didokong oleh majoriti Melayu Semenanjung yang merupakan masyarakat rakyat majoriti Malaysia.
Kedua, Melayu Semenanjung juga berkata bahawa mereka tidak mahu bukan Melayu menjadi tunjang sebuah kerajaan kerana ini mencabar kedaulatan politik demokrasi berasaskan politik dominasi Melayu. Dalam konteks ini, mereka khuatir arah tuju kerajaan akan dikawal atau dipengaruhi oleh bukan Melayu.
Ada segelintir pengulas politik mengatakan bahawa PRN tiada kaitan dengan Kerajaan Perpaduan. Sebenarnya, ini pandangan yang tidak tepat. Pilihan raya ada kaitan dengan semua hal berkaitan parti, kuasa dan kerajaan. Ini adalah kerana blok yang sama bertanding untuk mendapatkan sokongan. Justeru, keputusan dari segi jumlah kerusi naik atau susut menunjukan pasang surut sokongan.
Daripada keputusan PRN ini yang menunjukkan peningkatan sokongan Melayu Semenanjung kepada PN, maka sudah dijangkakan bahawa PN akan menuntut dua hal iaitu mendesak supaya Kerajaan Perpaduan berundur berasaskan mandat baharu Melayu Semenanjung atau menuntut supaya Parlimen dibubarkan agar rakyat dapat menentukan sokongan berasaskan sentimen yang ditunjukkan dalam PRN ini.
TERJEJAS
Legitimasi untuk terus memerintah oleh Kerajaan Perpaduan terjejas dengan keputusan PRN. Keputusan ini memberi kesan kepada legitimasi dan integriti untuk terus berpegang kepada kuasa dalam keadaan sokongan sudah susut dengan jelas dari para pengundi yang sama yang telah bersuara dalam platform sama, iaitu pilihan raya, walaupun dua pilihan raya berbeza menentukan kerajaan di dua peringkat yang berlainan.
Melayu akar umbi di Semenanjung sudah bercakap dengan jelas siapa pilihan mereka. Dari sudut parti, paling jelas mereka menolak UMNO yang mengulangi kekalahan teruk pada PRU15. Malah lebih teruk kali ini kerana UMNO kalah di 89 kerusi dan hanya menang 19 kerusi berbanding 43 kerusi sebelumnya. UMNO mendapat markah gagal, 17.6 peratus. Ia mengalami total wipe-out di Terengganu dan Kedah serta saguhati satu kerusi di Kelantan dan dua kerusi di Pulau Pinang. Sesatunya negeri yang tidak terkesan teruk ialah Negeri Sembilan, menang 14 kerusi dan kalah tiga.
UMNO perlu reformasi radikal jika mahu terus hidup. Sudah ada suara mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan. Tan Sri Idris Jusoh, mantan Menteri Besar Terengganu, sudah menyuarakannya. Anwar tiada pilihan lain. Jika beliau menghalang perubahan ini dari berlaku PH juga akan terheret turun sama dalam PRU16.-UTUSAN
DATUK Dr. Jayum Anak Jawan adalah Profesor Sains Politik di Universiti Putra Malaysia (UPM) & Felow Akademi Sains Malaysia











