Memilih untuk melakukan hal masing-masing tetapi masih bergelar suami isteri.
Bunyinya agak jelek didengar, namun situasi itu tetap berlaku dan terus wujud hingga ke hari ini.
Ujian dalam rumahtangga ini seksanya hanya yang pernah mengalami faham.
Emosi, fizikal mental akan terjejas.
Bayangkan, gurau senda, tiada lagi disusuli gelak ketawa. Cerita yang mencuit hati, tidak ada senyuman berbalas.
Rasa cinta, kasih dan sayang semakin luntur.
Segala-gala yang cuba dilakukan langsung tidak lagi membawa ketenangan dan bermakna apabila hati sudah tawar.
Apabila seseorang sudah tawar hati, hubungan menjadi dingin dan lama-kelamaan membawa kepada kehancuran.
Demikian jugalah kisah Zalina (bukan nama sebenar) yang pernah menjalani kehidupan serupa hampir setahun sebelum berpisah secara sah dengan suami, Syafiq (bukan nama sebenar) pertengahan November tahun lalu.
Dalam emel yang dikirimkan kepada saya baru-baru ini, Zalina menulis, untuk apa mereka mempertahankan lagi rumah tangga yang sudah tidak ada kasih sayang, rasa hormat dan tolak ansur.
Setelah berbincang dari hati ke hati, Zalina dan Syafiq mengambil keputusan berpisah pada akhirnya dan membawa haluan masing-masing.
Akui Zalina apapun, keretakan perkahwinan mereka bukanlah kewujudan orang ketiga, sebaliknya kerana kesibukan masing-masing.
Sebelum mahkamah memutuskan penceraian secara sah, bukan tiada usaha dilakukan untuk menyelamat dan mempertahankan rumah tangga mereka, tetapi gagal.
Ini termasuk menghadiri sesi kaunseling, selain bertanyakan pandangan kedua-dua ibu bapa masing-masing.
Tulis Zalina dalam emelnya lagi, enam bulan sebelum proses penceraian selesai, dia dan Syafiq sudah tidak tinggal sebumbung.
Ini termasuk hak penjagaan dua anak mereka, Dalina dan Zain (bukan nama sebenar), masing-masing berusia 10 dan 8 tahun ketika itu.
“Sepanjang tempoh itu, tiada ada komunikasi langsung antara kami sehinggalah mahkamah memutuskan penceraian sah pada pertengahan November tahun lalu.
“Baik saya mahupun bekas suami, masing-masing meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya ada kerjaya sendiri, begitu juga Syafiq yang semakin sibuk dengan urusan perniagaannya,” menurut Zalina lagi.
Menyingkap awal perkenalan, Zalina bertemu Syafiq ketika menerima rawatan di kliniknya di sebuah daerah di utara tanahair.
Syafiq ketika itu bertugas sebagai penganalisis teknologi maklumat di sebuah syarikat minyak dan gas.
Perkenalan singkat itu akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin dengan restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.
“Sejujurnya saya dan Syafiq sangat -sangat menyayangi antara satu dengan lain.
“Dia cinta pertama saya, begitu juga saya kepada Syafiq,” kata Zalina.
Setahun berumahtangga, Syafiq memilih untuk berhenti kerja dan berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
Berkat usaha dan kerja keras, serta rezeki kelahiran cahaya mata sulung, Darina, perniagaan Syafiq terus berkembang maju.
Selang dua tahun, mereka dikurniakan lagi cahaya mata kedua iaitu, Zain.
Kehadiran sepasang cahaya mata ini melengkapkan lagi hubungan mereka sebagai suami isteri.
Hari berganti minggu, minggu berganti tahun. Zalina semakin sibuk dengan tugasnya sebagai doktor, begitu juga Syafiq yang sering ke luar daerah menguruskan perniagaannya.
“Keputusan untuk berpisah, kami buat bersama. Untuk apa perkahwinan ini diteruskan, jika masing-masing gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami mahupun isteri,” tulisnya lagi.
Kata Zalina, sejujurnya dia masih sayangkan perkahwinan yang dibina hampir 11 tahun bersama lelaki yang pertama kali berjaya mencuri hatinya itu.
Namun setelah difikirkan semasak-masaknya, tidak ada gunakan mereka meneruskan perkahwinan itu lagi.
“Saya juga tidak menyangka suami juga berfikiran dan berperasaan sama dengan saya.
“Dia juga tidak pasti ke mana arah tujuan perkahwinan kami selepas masing-masing masih meneruskan kehidupan sibuk dan taksub dengan kerjaya seperti sebelum berkahwin.
Katanya, walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, tidak wujud sebarang kebencian antara mereka berdua.
Bagi Zalina cinta adalah satu komitmen dan tanggungjawab.
Perasaan boleh berubah, tetapi komitmen dan tanggungjawab tetap ada.
“Sebelum memutuskan untuk berpisah, kami meletakkan anak-anak sebagai perkara utama.
“Mereka perlu diberi kasih sayang seperti anak-anak yang lain.
“Jadi kami sepakat untuk tetap berbaik demi anak-anak walaupun tidak lagi bergelar suami isteri.
“Saya tidak akan memisahkan anak-anak dengan bapa mereka walaupun mahkamah memutuskan Darina dan Zain di bawah jagaan saya,” sambungnya.
Oleh kerana itu sedaya upaya dia dan bekas suami akan cuba membesarkan mereka sebaik mungkin.
Kata Zalina tidak ada suami dan isteri mahukan sesebuah perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.
Namun kalau sudah sampai di sini sahaja jodohnya, siapalah kita untuk mempersoalkan.
“Mungkin kami tidak ditakdirkan hidup bersama sebagai suami isteri, tetapi sebagai sahabat rapat,” tulisnya.
Kata Zalina, tujuan dia berkongsi kisah hidupnya bukan mahu membuka aib sesiapa tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada suami isteri lain.
Perasaan tawar hati sekiranya tidak dicegah dari awal akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk penceraian.
Ini kerana hati yang baik akan memandu setiap tindakan positif dalam kehidupan, begitu juga hati yang rosak akan meninggalkan sesuatu kepada pemiliknya.
Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung). (Hadis Riwayat Bukhari).









