LANGKAWI: Kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan Madani 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun yang akan diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gaji penjawat awam yang menjadi tunjang utama kerajaan sepatutnya telah dinaikkan dua tahun lalu, namun kerajaan ketika itu tidak melaksanakannya termasuk melakukan kajian mengenai skim gaji dan persaraan golongan tersebut.
Menurutnya, mesyuarat bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini mengesahkan tidak ada sebarang langkah dibuat oleh kerajaan terdahulu untuk melihat perkara tersebut termasuk mengadakan sekurang-kurangnya mesyuarat berkaitan perkara itu.
“Ini peraturan kita, setiap 10 tahun dari zaman Tun Abdul Razak (Hussein) sampai Datuk Seri Najib (Razak) ada (gaji dinaikkan) tetapi sejak mereka perintah tiga tahun lalu, jangan kata naik gaji mesyuarat pun tak ada.
“Padahal janji setiap 10 tahun mengikut keupayaan kewangan kalau boleh naik lah sedikit, tetapi memang kena naik (ketika ini) sebab inflasi turut naik. Jadi keputusan kita hasil mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) kita teliti balik.
“Kita periksa semula fail, jadi saya selaku Menteri Kewangan kata kena ada keputusan gaji penjawat awam dinaikkan termasuk polis, tentera, penjawat-penjawat awam lain termasuk staf LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi),” katanya pada program Walkabout Pelancongan dan perasmian Geopark Discovery Centre (GDC) LADA di sini, semalam.
Pada 13 Julai lalu, Perdana Menteri memaklumkan skim gaji penjawat awam akan dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dengan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat bersama KSN, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan KPPA, Datuk Dr. Zulkapli Mohamad sebelum pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Tambah Perdana Menteri, langkah kenaikan sementara itu diputuskan mengikut keperluan semasa kerana kerajaan memerlukan sedikit masa untuk mengkaji ratusan skim gaji dan persaraan penjawat awam yang terdapat di negara ini.
“Saya cuba dalam Belanjawan Madani Oktober nanti. Kita naikkan dulu sedikit gaji sementara kita buat kenaikan menyeluruh yang boleh siap tahun depan.
“Kerajaan perpaduan ada pelan bertindak dan dalam masa sama saya mahu tanya pasal apa tak buat kajian tahun sudah, dua tahun sudah atau tiga tahun sudah. Kalau alasan Covid-19 pun buatlah kajian dahulu, lepas itu (Covid-19 pulih) boleh naik (gaji penjawat awam),” katanya.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan turut bersetuju untuk memberikan elaun penjawat awam semenanjung yang bertugas di Pulau Langkawi seperti yang bakal dinikmati oleh penduduk Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung.
“Saya dah umumkan beberapa bulan yang lalu orang semenanjung kerja di Sabah dan Sarawak dapat elaun tetapi orang Sabah dan Sarawak datag kerja semenanjung tidak ada elaun dan kita sudah baiki yang itu.
“Sekarang ini orang tanya juga, orang luar datang kerja di Langkawi kos dia bertambah terutama kerana penerbangan dan sebagainya. Maka kita sudah luluskan walaupun belum diumumkan elaun penjawat awam yang bertugas di Langkawi,” katanya.
Menyentuh gaji kakitangan swasta di negara ini, Anwar berkata, kerajaan sudah di peringkat akhir kajian untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi membantu kenaikan gaji golongan itu.
“Bagaimana pekerja lain seperti kakitangan hotel, syarikat dan kilang sedangkan penjawat awam kita naik gaji. Maka saya minta Kementerian Ekonomi siapkan kertas kajian ada tak negara guna duit kerajaan tolong gaji swasta, rupanya ada. Tidak mudah laksana dalam keadaan ekonomi sekarang tetapi susah macam mana pun masalah dihadapi rakyat kena ada perubahan,” katanya,

Sementara itu di Pulau Pinang, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi, yang mengadakan lawatan ke negara ini dalam usaha meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.
Pertemuan kira-kira 25 minit itu juga turut diapit Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kata Anwar, pertemuan itu menandakan kepentingan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, menyaksikan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.
“Dari segi pelaburan pula, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lalu dengan pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion (RM55.16 bilion).
“Saya turut dimaklumkan, jumlah eksport ke China meningkat 9.4 peratus kepada RM210.62 bilion (AS$47.84 bilion) pada 2022, manakala import dari China menyaksikan peningkatan 20.7 peratus kepada RM276.50 bilion (AS$62.78 bilion) pada tahun yang sama.
“Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan, menandakan persahabatan yang lama terjalin dan kerjasama mantap dalam pelbagai sektor,” katanya. – UTUSAN











