Bijak guna kuasa mengundi demi negara - Utusan Malaysia

Bijak guna kuasa mengundi demi negara

KECENDERUNGAN pilihan pengundi, sama ada Melayu, Cina atau India sukar diramalkan pada pilihan raya negeri kali ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 12 Ogos yang di tunggu-tunggu sudah tiba. Esok, hampir 7.33 juta atau 75 peratus pengundi di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka akan keluar mengundi untuk memilih 245 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing.

Pengundi yang tinggal tetap di DUN masing-masing dijangka akan keluar mengundi manakala hampir 50 peratus pengundi di  luar kawasan dijangka tidak akan balik  untuk mengundi.

Meskipun beberapa parti politik serta calon Bebas turun ke gelanggang untuk mencuba nasib mereka,  rakyat akan menyaksikan persaingan hebat dan sengit diantara gabungan Pakatan Harapan (PH) + Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)  dalam pilihan raya negeri (PRN) ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, Selangor dan Negeri Sembilan akan menjadi medan pertarungan hebat esok. Tinjauan menunjukkan PH+BN dijangka mempertahankan Pulau Pinang  dan PN mempertahankan Kelantan dan Terengganu dengan mudahnya  dalam PRN pada kali ini.

Kecenderungan pilihan pengundi, sama ada pengundi Melayu, Cina atau India sukar diramalkan pada kali ini kerana isu  kempen PRN pada kali ini adalah lebih memusatkan kepada   kaum dan agama yang mana kedua-dua isu ini dekat dengan hati pengundi, lebih-lebih lagi pengundi Melayu.

Memandangkan majoriti pengundi adalah terdiri daripada kaum Melayu, sama ada tua maupun muda, mereka dijangka akan mengalih sokongan mereka kepada pengundi Melayu pada kali ini.

Dalam pada itu, peranan jentera pilihan raya adalah penting dalam menjayakan sesuatu parti serta calon. Dalam konteks ini,   penyokong serta jentera UMNO yang kelihatan kurang bersemangat  pada awalnya  dilihat  telah turun padang  dengan penuh ghairah pada akhir-akhir ini.

Manakala,  pengundi India yang  keliru terhadap pilihan mereka  pada awalnya, juga pada akhirnya  semakin mendekati kepada PH+BN di Selangor dan Negeri Sembilan.

Malah pemimpin serta ahli  MIC yang merajuk  terhadap BN pada awalnya  didapati sudah dipujuk  oleh kepimpinan MIC dan PH untuk turun padang bagi memastikan kemenangan calon-calon  PH+BN.

Pada pandangan kasar, pengundi Melayu dijangka akan berpecah,  malah majoritinya dijangka dipengaruhi oleh gelombang hijau  dari timur dalam memastikan kemenangan calon-calon  PN di beberapa DUN.

Namun, gabungan PH+BN  menjangka akan dapat sokongan  hebat daripada pengundi Cina kerana mereka masih setia kepada  DAP, parti  yang merupakan parti  pilihan utama mereka sejak kebelakangan ini.

Apakah sokongan majoriti pengundi Cina sahaja  sudah  mencukupi bagi menjamin  kemenangan calon-calon PH+BN?  Apa yang akan membantu kemenangan calon-calon PH adalah sokongan pengundi Melayu  pada kadar tidak kurang daripada 30 peratus di semua DUN. Apakah PH+BN mampu meraih sokongan pada kadar peratusan tersebut?

DEMOKRASI

Sebaliknya, PN yakin akan dapat sokongan  80 peratus pengundi Melayu di kebanyakan kawasan DUN di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala 40 peratus di negeri lain. Jadi, PN  mengharapkan hanya lima hingga 10 peratus pengundi bukan Melayu  dalam memastikan kemenangan calon-calon mereka.

Dalam konteks ini, PH+BN serta  PN mengharapkan sokongan pengundi India  dalam lingkungan 10 peratus dalam menjamin kemenangan bagi calon-calon parti mereka.

PN pula berharapan tinggi sokongan pengundi India yang dijangkakan itu akan memihak PN . Sekiranya ini berlaku maka cerahlah peluang PN menang dengan hebat dalam PRN ini.

Memandangkan undi Melayu dijangka akan pecah, maka  PN mengharapkan undi India, terutamanya di Selangor dan Negeri Sembilan.

Misalnya, hampir 10 kawasan, daripada Jumlah 56 kerusi DUN di Selangor  mempunyai komposisi pengundi India antara 20 hingga 40 peratus.

Jadi,  undi India  mampu menentukan keputusan di kedua-dua negeri tersebut. Namun,  14 calon Bebas India yang bertanding  dalam  PRN ini dijangka akan menjejaskan sokongan pengundi India kepada kedua-dua gabungan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Malah episod ketinggalan seorang tokoh DAP keturunan India, Prof. Dr. Ramasamy, dalam  senarai calon bertanding dalam PRN juga dijangka  akan merosotkan  bank undi India kepada PH+BN.

Dengan itu, undi India, terutamanya daripada ahli MIC,  dijangka akan memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan  PRN di Selangor dan Negeri Sembilan, di mana kedua-dua  negeri yang menjadi rebutan dan taruhan antara PH+BN dan PN   pada kali ini.

Persoalannya, apakah  ahli MIC akan  menyokong calon  PH+BN dalam PRN ini seperti diuar-uarkan dalam pelbagai media terutamanya media arus perdana?

Sekiranya majoriti  pengundi India menganjak sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan, maka peluang bagi calon-calon PH+BN adalah cerah. Apakah mereka akan lalukan?

Apa pun, PRN pada kali ini dilihat  sebagai satu pertembungan hebat antara  majoriti pengundi  Melayu pada satu pihak dan majoriti pengundi bukan Melayu pada satu pihak yang lain.

Selain itu, pertembungan hebat  antara dua kumpulan masyarakat terbesar dalam negara seperti ini jelas  memaparkan rakyat Malaysia belum sedia  untuk keluar daripada kepompong pemikiran yang mengaitkan agama dan kaum dalam politik dan pilihan raya.

Meskipun  pengundian bersandarkan kaum dan agama  adalah kurang sihat  bagi  politik Malaysia, namun keputusan PRN pada kali ini  akan menggambarkan  aspirasi atau suara majoriti rakyat, salah satu ciri yang penting dalam   sistem  demokrasi.

Rakyat perlu mengakui dan menghormati  keputusan PRN kerana keputusan majoriti  adalah antara ciri-ciri utama dan terpenting dalam sistem  demokrasi  tulen serta matang. Jom bijak mengundi demi negara. – UTUSAN

DATUK  M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik negara.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×