Undi anak muda sandaran calon PH DUN Kajang

Undi anak muda sandaran calon PH DUN Kajang

DAVID Cheong menyantuni pengundi semasa kempen untuk DUN Kajang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

=======MUKADIMAH=============

CALON dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH-PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, David Cheong Kian Yong tidak gentar bertemu berlawan dengan dua pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Semangat ahli perniagaan berusia 58 tahun itu berteraskan sokongan mantan ADUN Kajang, Hee Loy Sian yang tidak putus-putus bersamanya turut berkempen bagi memperkenal beliau sebagai calon pengganti kepada Loy Sian.
David Cheong yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, adalah adat dalam dunia politik untuk parti mencalonkan barisan muka baharu dan sebagai salah seorang newcomer, penerimaan daripada penduduk Kajang dilihat baik.
Wartawan Utusan Malaysia, KAMARIAH KHALIDI menemu bual David Cheong sebagai calon muka baharu dipertaruhkan oleh PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

UTUSAN: Sebagai calon muka baharu, adakah anda yakin mempertahankan DUN Kajang?
Ya, saya yakin mempertahankan kemenangan PH di kerusi ini. Saya terima sokongan kuat daripada mantan ADUN Kajang, Hee Loy Sian selain beliau sentiasa turun padang tidak kira pagi atau malam untuk membantu saya berkempen.
Saya juga menerima reaksi yang positif daripada pengundi dan mereka teruja dengan pelancaran Manifesto Harapan DUN Kajang yang terbahagi kepada enam komponen.

Ada dakwaan anda bukan calon tempatan dan tidak dikenali penduduk tempatan?
Dakwaan itu tidak tepat ke­rana Kajang bukan satu kawasan yang asing bagi saya. Kira-kira 10 tahun lalu, ketika Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diletakkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 2014, berbulan-bulan saya di sini menjalankan kerja, jadi tiada masalah dari segi geografi mahu pun memahami masalah penduduk setempat.
Semua ketua cabang di sini adalah rakan baik saya dan mereka amat mengalu-alukan kedatangan saya ke Kajang, bahkan mereka sedang bertungkus lumus membantu sepanjang kempen.

DUN Kajang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH-BN, Liew Sin Kim (PN) dan S. Arutchelvan (PSM). Pendapat anda adakah ia sai­ngan sengit?
Saya rasa tidak kerana mantan ADUN di sini daripada PH sudah menjalankan kerja de­ngan cukup bagus sekali sepanjang beliau menjadi wakil rakyat dan PRN kali ini, saingan utama hanya di antara PH-BN dan PN, bukan lain-lain.

Boleh komen mengenai kerjasama antara PH-BN?
Kerjasama PH-BN di Kajang positif kerana saya sendiri sudah bertemu dan bermesyuarat dengan akar umbi dari UMNO. Saya juga sudah berjanji untuk berikan yang terbaik pada PRN kali.

Sekiranya anda dipilih rak­yat Kajang, apa tindakan segera kepada penduduk?
Selepas 12 Ogos ini, saya ingin berdialog dengan anak-anak muda di DUN Kajang, saya mahu mendapatkan input daripada mereka apa yang patut saya buat dan bantu mereka, itu sangat penting. Saya mahu adakan bengkel kemahiran dan latihan supaya dengan berbekalkan ilmu yang diperoleh itu mereka dapat mencari rezeki seumur hidup.
Kalau saya bagi RM100,000 sekali pun duit itu akan habis dibelanjakan tetapi bila mereka dapat ilmu yang didalami daripada latihan atau kemahiran tersebut, sekurang-kurangnya mereka boleh cari pekerjaan yang bersesuaian misalnya membuka bengkel kereta atau pun membaiki telefon pintar dan komputer riba. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×