Peminat kumpul jersi Perlis - Utusan Malaysia

Peminat kumpul jersi Perlis

TENGKU Zaiudean Tengku Mohd. Yusof menunjukkan koleksi jersi lama Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 4 Disember 2004, Stadium Nasional Bukit Jalil bergegar dengan sorakan hampir 30,000 penyokong setia Singa Utara bagi meraikan kejayaan pasukan bola sepak Perlis yang buat pertama kalinya dalam tempoh 83 tahun menjuarai Piala Malaysia.

Ketika itu, suasana di Perlis pula sunyi sepi dengan kebanyakan rakyat negeri ini sanggup mengharungi perjalanan lebih 400 kilometer ke Kuala Lumpur. Sementara yang lain, berkumpul di rumah menyaksikan siaran langsung di televisyen perlawanan akhir antara Perlis dan Kedah itu seterusnya meraikan detik bersejarah tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Perlis berjaya menewaskan Kedah 1-0 menerusi lontaran dari Adrien Jurad Chamrong yang menewaskan penjaga gol, Megat Amir Faisal pada minit ketujuh. Ia sekali gus menjadi gol tunggal perlawanan yang membawa kejayaan cukup bermakna buat Singa Utara.

Lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup digeruni dan disegani pasukan lawan selain pernah dianggap giant-killer yang memusnahkan pasukan-pasukan besar di Malaysia.

Bola sepak ketika itu, adalah hiburan utama rakyat negeri ini dengan Stadium Dato Sheikh Ahmad (dahulu) sehinggalah Stadium Utama Kangar (kini Stadium Tuanku Syed Putra), sentiasa dipenuhi peminat bagi menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka.

Dalam tempoh tersebut, Perlis telah merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat seperti Selangor, Pahang, Singapura ketika era kegemilangan itu.

Malah, dari tahun 2004-2008 khususnya, mereka banyak kali berada di pentas akhir saingan bola sepak Malaysia dengan antaranya merangkul kejuaraan dua kali Piala Malaysia selain membawa pulang Piala Sumbangsih yang juga dimenangi dua kali.

Boleh dikatakan semua piala dipertandingkan, berjaya dimenangi Perlis dalam tempoh tersebut kecuali Piala FA apabila mereka tewas kesemua tiga final iaitu pada tahun 2003, 2006, 2007.

Setelah mengecapi pelbagai kejayaan dalam Liga Malaysia, Singa Utara yang pernah dibarisi pemain hebat seperti Philimon Chipeta, Emile Mbouh Mbouh, Stephen Keshi, Saidin Osman, Yusri Che Lah, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Amran Omar dan ramai lagi tiba-tiba berubah dan mengalami kemerosotan teruk dan kini boleh dikatakan sudah ‘hilang’ dalam peta bola sepak negara.

UBAT KERINDUAN
Bagi mengubati kerinduan tersebut, sekumpulan peminat bola sepak negeri ini yang mengumpul jersi lama Perlis khususnya ketika era emas Singa Utara mengambil inisiatif mengadakan pameran jersi berkenaan di Arau Street Market, di sini baru-baru ini.

ANTARA koleksi jersi yang dipamerkan sekumpulan pengumpul jersi Singa Utara di Arau Street Market, Arau, Perlis.

Rata-rata mereka mengakui dengan cara mengumpul koleksi tersebut sebagai salah satu cara mengubati kerinduan terhadap pasukan bola sepak Perlis.

Malah, besar harapan rakyat di negeri ini agar Perlis bangkit dan kembali mewarnai arena bola sepak negara selepas hampir sedekad Singa Utara dilihat masih tidur nyenyak.

Bagi seorang pengumpul jersi Perlis, Anuar Che Ahmad, 52, berkata setakat ini, lebih 200 helai jersi Perlis dikumpulnya sejak 1995, dengan kebanyakan koleksi tersebut adalah yang dipakai oleh para pemain sendiri.

Katanya antara jersi pemain terkenal Singa Utara dimiliki ialah yang pernah dipakai oleh penjaga gol era 70-an dan 80-an iaitu V.Marimuthu, Bakri Ibni, Saidin Osman, Mbouh Mbouh, Amran Omar, Chipeta, Adrien Jurad Chamrong dan ramai lagi.

Katanya, antara koleksi kesayangan adalah jersi pemain pada tahun 2004 iaitu ketika final Piala Malaysia apabila buat pertama kalinya Perlis menjuarai piala kebanggaan negara itu sejak 83 tahun.

ANUAR Che Ahmad menunjukkan koleksi jersi lama Perlis di Arau Street Market, Arau, Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

“Jersi ini adalah pengubat rindu terhadap Singa Utara selepas Perlis ketika ini sudah ‘hilang’ dalam radar bola sepak negara. Saya selalu memegang jersi-jersi ini sebagai pengubat rindu terhadap zaman kegemilangan Perlis dahulu,” luahnya.

Pengumpul jersi Singa Utara, Tengku Zaiudean Tengku Mohd. Yusof, 32, memberitahu beliau mengumpul jersi Perlis sejak lapan tahun lalu.

Antara koleksi kesayangannya ialah yang pernah dipakai oleh pemain pertahanan Muhamad Kaironnisam Sahabudin atau Botak pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2004 menentang Kedah.

“Sekarang sedih, bola Perlis sudah tidak seperti dulu. Singa Utara yang menjadi bahan hiburan dan kebanggaan rakyat negeri ini, sekarang tidak lagi. Selain hobi, koleksi ini menyimpan kenangan buat saya,” katanya yang berasal dari Arau.

Zaide Abidin, 42 menyifatkan jersi dimiliki sebagai cukup berharga. Beliau mengumpul jersi Perlis sejak 10 tahun lalu dan akan tetap menyimpankan sebagai bahan sejarah kesayangannya.

Kembalikan nostalgia Singa Utara
Peminat bola sepak Perlis, Azizi Razali, 35, mengambil kesempatan melawat pameran jersi Perlis yang nyata mengimbau kembali nostalgia di zaman kegemilangan Singa Utara satu ketika dahulu.

Beliau sebaliknya berharap pameran seperti itu dapat diperluaskan di kawasan-kawasan lain yang pastinya bakal mengubati kerinduan penduduk di negeri ini terhadap Singa Utara.

“Banyak jersi dipamerkan termasuk yang pernah dipakai pemain-pemain terbaik di era 1980 dan 1990-an seperti Saidin Osman dan Mbouh Mbouh.

Ahmad Nasran Mohd. Yusof, 40, pula berkata, pengalaman menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia pada 2004 meninggalkan kenangan cukup manis dan berharap Perlis kembali bangkit.

“Sejak dulu saya tidak pernah ketinggalan menyaksikan perlawanan melibatkan Perlis dan jersi-jersi Perlis ketika itu banyak dalam simpanan saya. Jersi ini sahaja pengubat rindu kami terhadap Singa Utara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×