‘EUDR hanya halangan perdagangan’

‘EUDR hanya halangan perdagangan’

FADILLAH Yusof bergambar selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit 2023 di Miri, Sarawak, semalam. – UTUSAN/COWEN LINCH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI: Malaysia tidak seharusnya dianggap sebagai negara ‘be­risiko tinggi’ dari segi penebangan hutan, dan adalah tidak adil bagi Kesatuan Eropah (EU) untuk menggunakan negara ini sebagai penanda aras pematuhan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penanda aras pematuhan harus berdasarkan industri itu sendiri, bukan negara.

“Dengan cara itu, ia akan menjadi lebih baik dari segi industri,” ujar beliau berucap merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (POMTEC) 2023, di Hotel Imperial Miri, semalam.

Bertemakan “Ke Arah Operasi Perniagaan Mampan dan Nilai Tambah”, POMTEC 2023 dianjurkan oleh Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak.

Menurut Fadillah, EUDR ha­nya berfungsi sebagai satu lagi halangan perdagangan yang menetapkan syarat yang berat dan ketat untuk import komo­diti pertanian ke pasaran Eropah.

Kementerian kata beliau, memandang serius perkara itu dan secara agresif melibatkan pelbagai pihak dalam usaha memudahkan negara meme­rangi penebangan hutan sekali gus dikecualikan daripada sebarang klasifikasi yang tidak wajar sebagai negara ‘berisiko tinggi’.

Selain itu, katanya, kementerian juga melibatkan diri melalui inisiatif Pasukan Petugas Bersama (JTF) antara Malaysia, Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) mengenai pelaksanaan EUDR, untuk mengekalkan akses pasaran negara, pada masa yang sama memberikan hubungan perdagangan yang mampan.

“JTF akan terus berusaha secara aktif ke arah mendapatkan pengiktirafan EU melalui usaha Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pensijilan berkaitan negara yang lain,” jelas beliau.

Fadillah menambah, kementeriannya akan terus berpe­ranan memastikan kedudukan Malaysia (sebagai pengeskport produk sawit ke Eropah) kekal, pada masa yang sama meme­nuhi keperluan dan kriteria pasaran Eropah melalui MSPO.

“Dengan menyelaraskan MSPO dengan keperluan EUDR, kita akan dapat memastikan amalan bertanggungjawab dalam industri ini kekal dengan kedudukan negara di pasaran Eropah, sekali gus membuktikan komitmen Malaysia dalam menghasilkan minyak sawit mampan di peringkat global,” jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri turut menggesa pengusaha kilang sawit di seluruh negara untuk menerima amalan perladangan mampan dan mencuba kaedah serta strategi inovatif untuk menambah nilai kepada rantaian pengeluaran minyak sawit dan meningkatkan daya saing.

Beliau turut mengajak pemain industri memanfaatkan POMTEC 2023 dengan berkongsi dan bertukar kepakaran bagi menghasilkan amalan perlada­ngan mampan.

“Kerjasama semua pihak akan dapat menangani isu alam sekitar yang berkaitan dengan pengeluaran minyak sawit, se­perti meminimumkan kesan industri minyak sawit ke atas ekosistem, biodiversiti dan iklim,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×