Tawaran PH-BN ‘pikat’ rakyat Kelantan - Utusan Malaysia

Tawaran PH-BN ‘pikat’ rakyat Kelantan

Rakyat Kelantan dilihat tertarik dengan tawaran BN-PH pada PRN di negeri itu. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tawaran gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mencakupi 34 perkara dilihat mula ‘memikat’ hati rakyat negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rakyat memberi reaksi positif terhadap tawaran yang terkandung di bawah empat teras bertemakan Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran.

Hasnah Jusof, 53, ber­kata, tawaran itu realistik sekiranya gabungan itu diberi mandat mentadbir negeri ini selepas 12 Ogos ini.

Dia tertarik dengan janji BN-PH untuk memberikan bantuan RM1,000 kepada ibu bersalin anak pertama.

“Bantuan ini meringankan beban kepada pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga untuk menyambut kelahiran anak pertama,” katanya.

Wan Siti Nor Asiah Wan Jusof, 46, pula ber­kata, tawaran BN-PH turut memberi tumpuan kepada sektor pendidikan apabila menawarkan biasiswa tahunan kepada pelajar tingkatan enam.

Katanya, walaupun sum­bangan berjumlah RM300 untuk setahun itu nampak sedikit namun bermakna buat golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Kama­ruddin Derahman, 49, berkata, janji untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur juga menarik.

Katanya, Kelantan amat memerlukan terminal pengangkutan awam bersepadu untuk memudahkan urusan pengguna perkhidmatan.

“Tawaran bekalan air bersih, pemansuhan caj parkir dan banyak lagi perlu diberikan perhatian oleh rakyat Kelantan untuk memilih kerajaan negeri baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×