BANGKOK: Thailand tidak akan menghentikan eksport beras kerana ia mempunyai pengeluaran yang mencukupi untuk eksport dan penggunaan domestik, kata Menteri Perdagangan, Jurin Laksanawisit.
Malah kata beliau, Thailand akan mendapat manfaat daripada tindakan India melarang eksport beras negara itu.
India, pengeskport terbesar beras dunia, telah mengeluarkan larangan eksport komoditi itu pada Julai lalu dalam usaha mengawal harga domestik. Tindakan tersebut dijangka memberi kesan kepada pasaran dan inflasi makanan global.
“Larangan India adalah peluang kepada pengeluar beras Thailand, terutama (pasaran) di Afrika yang sebelum ini merupakan pembeli terbesar beras India.
“Dengan larangan itu juga, harga beras global meningkat disebabkan pengeluaran turun… petani boleh menjual beras pada harga lebih tinggi, ” katanya kepada pemberita dalam satu taklimat, lapor Bloomberg.
Jurin bagaimanapun berkata, harga beras global tidak menentu dan kerajaan akan memantau dengan teliti keadaan itu.
Thailand, pengeksport beras kedua terbesar dunia, dijangka mengeksport lebih lapan juta tan metrik beras tahun ini, menurut Presiden Persatuan Pengeksport Beras Thailand, Charoen Laothamatas pada sesi taklimat berkenaan.
Beliau berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Thailand mengeksport 4.8 juta tan metrik beras, dengan eksport bulanan antara 700,000 hingga 800,000 tan. Eksport beras Thailand tahun lepas berjumlah 7.71 juta tan.
“Pasaran dunia sangat `bergelora’ kerana spekulasi di setiap pasaran, menjejaskan negara yang tidak mempunyai stok. Harga eksport beras mungkin meningkat 20 peratus selepas larangan eksport oleh India,” katanya. – AGENSI










