GUA MUSANG: Orang Asli di Pos Pulat di sini tetap teguh memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini kerana yakin masa depan mereka terus terbela di bawah Kerajaan Perpaduan.
Penduduk Orang Asli Pos Pulat, Rahmad Anjang, 52, berkata, sebahagian besar masyarakat Orang Asli sudah sebati dengan BN sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu.
Katanya, sebelum ini, banyak pembangunan dan kemudahan asas dilakukan kerajaan termasuk perumahan untuk masyarakat Orang Asli.
“Lebih 300 masyarakat Orang Asli di Pos Pulat yang terlibat dengan projek empangan Hidroelektrik Nenggiri berharap projek dapat disiapkan mengikut jadual dan pembinaan penempatan baharu dapat dilakukan secepat mungkin.
“Harapan kami adalah mahu pembangunan dan kemajuan yang lebih lagi berbanding penempatan asal. Kemudahan paling asas yang kami mahukan adalah jalan. Keadaan jalan ketika ini masih lagi berbatu dan berlubang,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penduduk Orang Asli, Basri Abdullah, 47, berkata, masyarakat di kawasan ini tekad memberi sokongan kepada BN pada PRN kali ini.
“Saya gembira dengan gabungan BN dan Pakatan Harapan yang membentuk Kerajaan Perpaduan. Kami berdoa semoga calon BN menang pada PRN kali ini.
“Sejak minggu lalu, di kampung ini hanya dipenuhi dengan bendera BN. Ini menunjukkan sokongan masyarakat Orang Asli kepada BN serta Kerajaan Perpaduan.
“Kami bersepakat bergotong-royong menggantung dan menghias pondok dengan bendera BN sempena PRN kali ini,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya, Ab. Aziz Yusoff dengan calon Perikatan Nasional yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim. – UTUSAN











