SHAH ALAM: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis, Afriena Shaqira Sariff mendakwa rumahnya dekat Kampung Jawa di sini didakwa dipecah masuk.
Menurutnya, beliau menyedari keadaan itu apabila pulang ke rumah kira-kira pukul 1 tengah hari pada Rabu lalu untuk mengambil barang yang tertinggal di situ.
“Saya terkejut apabila melihat keadaan keseluruhan berselarak dan terus hubungi orang tua saya memaklumkan kejadian berkenaan. Semasa kejadian, tiada orang di rumah kerana mak dan ayah saya keluar pada awal pagi semalam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, hari ini.
Beliau menambah, antara barangan yang dikesan hilang seperti barang kemas miliknya termasuk rantai, cincin, anting-anting, wang tunai RM2,000, sebuah komputer riba serta telefon pintar milik kakaknya.
Oleh demikian, Afriena Shaqira kemudian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada hari yang sama.
“Ini kali pertama rumah keluarga diceroboh sepanjang lebih 20 tahun tinggal di sini, tetapi saya tidak menuduh sesiapa yang melakukan angkara ini.
“Bagaimanapun, lebih menyedihkan apabila beberapa barang kemas yang dicuri itu adalah pemberian arwah nenek dan saya harap pencuri itu dapat ditangkap dalam masa terdekat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan pecah rumah. – UTUSAN










