Sewa resort, inap desa laris

Sewa resort, inap desa laris

KAKITANGAN Pawana Jerai Resort membersihkan fasiliti kediaman di Ruat, Yan, Kedah, semalam. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Pilihan raya negeri (PRN) memberi limpahan rezeki buat pengusaha inap desa dan resort apabila premis mereka habis ditempah menjelang hari me­ngundi pada 12 Ogos ini.

Pengusaha Pawana Jerai Resort, Yani Yunus, 49, berkata, pelanggan me­nem­pah resort tepi pantai Ruat, di sini sejak 29 Julai lalu.

“Kebiasaannya penginapan di resort ini penuh pada musim cu­ti sekolah atau perayaan.

“Tapi kali ini tempahan pe­langgan turut membabitkan tapak perkhemahan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Yani, rata-rata pe­langgan memilih chalet, resort dan inap desa di kawasan ini memandangkan Pekan Gurun, Guar Chempedak dan Yan kekurangan hotel dan rumah tumpangan.

“Tambahan lagi kawasan ini dipilih oleh pelanggan kerana PRN Negeri Kedah membabitkan Baddrol Bakhtiar, seorang calon yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan dan ikon sukan negeri Kedah yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

“Jadi penyokongnya dari lu­ar negeri memilih Yan untuk menginap selain terpikat de­ngan suasana keindahan daerah ini,” katanya.

Seorang pemilik inap desa, Mohamad Arifuddin Rozali, 34, berkata, PRN membolehkan dia dan keluarganya menjana pendapatan apabila menyewakan dua rumah miliknya di Kampung Sungai Badak, Gurun sejak akhir bulan lalu.

“Pelanggan yang menyewa inap desa kami ini terdiri daripada pembantu dan penyokong calon dari Se­langor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak. Mereka menyewa sehingga tamat proses pengundian,” katanya.

Sementara itu, seorang peng­usaha inap desa di Kampung Raga, Yassin Salleh, 49, berkata, hampir keseluruhan inap desa di kampung ini telah ditempah bermula 10 Ogos hingga 13 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×