Silap besar pertikai pemilihan calon Bersatu

Silap besar pertikai pemilihan calon Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pimpinan ter­tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan ahli-ahlinya tindakan mempertikai keputusan pemilihan calon pilihan raya selepas dimuktamad oleh jawatankuasa pemilihan adalah satu ‘kesilapan besar’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, jawatankuasa pemilihan calon diyakini telah membuat keputusan munasabah berdasarkan pertimbangan dan kesesuaian calon mengikut kredibiliti, pengalaman dan kebolehmenangan di sesuatu kawasan.

Beliau tidak berniat menutup kebebasan dalam memberi pandangan, namun, Razali berharap supaya ahli parti akur dengan keputusan yang telah dicapai termasuklah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Rina Harun meskipun mereka kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ini bukan soal menang atau kalah. Soalnya sekarang ada berapa peratus calon yang dipertaruh. Harus tahu beza keadaan di pe­ringkat Parlimen dan DUN. Beliau (Muhammad Faiz Na’aman) tidak boleh mahu pertikai sahaja, kalau pertikai juga, maka beliau tersilap besar.

“Bukan Azmin seorang sahaja. Kita ada jawatankuasa pemilihan calon. Jadi, Faiz sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi tidak sepatutnya mempertikai keputusan parti. Ini adalah keterlanjuran beliau lakukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar ini melaporkan, Muhammad Faiz yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak berpuas hati dengan cara pemilihan calon wakil rakyat parti itu akan bertanding dalam PRN yang disifatkan sebagai ‘lemah dan bermuslihat’.

Katanya, ini kerana Bersatu memilih beberapa calon yang telah tewas dalam PRU15 untuk bertanding sekali lagi, antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (bertanding di DUN Hulu Kelang) dan Datuk Seri Rina Harun (DUN Batu Tiga).

Muhammad Faiz telah menafikan dakwaan melakukan sabotaj kerana hanya mewakili suara akar umbi dan bahagian parti yang tidak berpuas hati ekoran pemilihan calon-calon berkenaan.

Razali berkata, beliau masih menghormati pandangan disuarakan selain menganggapnya sebagai keputusan peribadi dan tidak mencerminkan pandangan keseluruhan Bersatu.

“Namun, harus diingat apabila calon telah diputuskan, jadi, tiada masa lagi untuk bincang isu pemilihan calon. Saya tahu, beliau masih lagi setia kepada parti.

“Saya amat mengenali beliau dan semakin matang. Oleh itu, dalam hal ini juga harus bersikap matang. Sebelum watikah calon keluar, boleh bincang lagi, tetapi selepas diumumkan, tidak boleh bincang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×