Isteri bukan punching bag

Isteri bukan punching bag

UNTUK mencapai bahagia, suami isteri kena cari persamaan dan kesefahaman, bukannya mencari perbezaan dan siapa yang salah. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hidup sebagai suami isteri tidak selamanya indah. Adakala berlaku selisih faham bak lirik lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma, Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri.

Namun, kisah isteri dipukul suami hingga mati di Sungai Long, Kajang pada 21 Julai lalu adalah amat tragis dan memilukan. Suami berusia 32 tahun itu sudah diberkas polis di Johor, kelmarin.

Insiden terbabit bukan kes pertama isteri menjadi mangsa amuk suami. Pada 5 April lalu, seorang wanita di Bukit Besi, Terengganu maut dibelasah oleh suaminya dengan menggunakan tukul besi. Puncanya dikatakan akibat cemburu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelik juga memikirkan mengapa terjadi kes-kes isteri jadi mangsa sepak terajang suami. Walhal, majoriti rumah tangga dibina atas dasar cinta dan suka sama suka. Walaupun tidak dinafikan, ada segelintir perkahwinan yang dibina bukan atas suka sama suka sebaliknya pilihan ibu bapa.

Mana perginya sifat kasih sayang dan hormat-menghormati antara insan bergelar suami isteri? Suami sepatutnya menjadi pelindung, pembimbing dan tempat isteri serta anak-anak menumpang kasih.

Inilah yang dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (an-Nisa’: 34)

Kita juga maklum bahawa isteri itu adalah anugerah Allah sebagai pasangan hidup di dunia ini untuk sama-sama melayari bahtera rumah tangga. Selain itu sebagai salah satu cara memelihara nasab dan keturunan.

Allah SWT amat mengetahui akan keperluan batin lelaki dan perempuan. Maka sebab itu Islam menghalalkan hubungan kelamin melalui pernikahan. Untuk mencapai bahagia, suami isteri kena cari persamaan dan kesefahaman. Bukannya mencari perbezaan dan siapa yang salah.

Malah, suami diperintahkan berbuat baik dengan isteri baik dalam pergaulan seharian mahupun juga dalam menunaikan hak-hak isteri yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. (an-Nisa’: 19)

Suami yang soleh pula tentunya berusaha mencontohi Nabi SAW dalam pergaulan dengan isteri dan ahli keluarga. Ini bertepatan dengan hadis daripada Aisyah r.ha bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. (Riwayat Tirmidzi)

Dalam hadis lain baginda bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku. (Riwayat Tirmidzi)

Dalam Islam, sudah dijelaskan kaedah dan tindakan yang boleh dilakukan jika si isteri didapati nusyuz.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). (an-Nisa’: 34)

Dalam hal ini, Islam sudah memberi panduan apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh suami. Semua langkah tersebut sifatnya lebih kepada mengelakkan perceraian.

Bagaimanapun, jika terbukti rumah tangga sudah tidak boleh diselamatkan dan jika diteruskan perkahwinan itu akan memudaratkan suami atau isteri, maka Islam benarkan perceraian.

Tetapi, janganlah si suami bertindak luar batasan menggunakan kudrat mereka memukul isteri apabila tiada lagi persefahaman atau apabila berlaku pertengkaran.

Tindakan paling awal adalah menasihati isteri, bukannya memukul seolah-olah mereka punching bag.

Sebahagian ulama berpendapat, langkah-langkah mendidik isteri ini perlu dilakukan secara berurutan seperti firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 34 tadi.

Maka, mulakan tindakan tersebut mengikut turutan iaitu nasihat, berpisah tempat tidur dan pukulan, harus dilakukan secara bertahap mengikut keadaan perilaku isteri sama ada perbuatan nusyuznya hanya memerlukan nasihat untuk menyedarkannya atau sudah keterlaluan yang perlu kepada pukulan tidak mencederakan.

Langkah-langkah mendidik isteri:
1. Menasihati isteri.

Apabila tanda nusyuz mula kelihatan daripada isteri, suami hendaklah memberi nasihat kepada isteri secara berhikmah tentang tanggungjawabnya yang diwajibkan oleh Allah SWT dalam menjaga hubungan baik antara suami isteri serta mengiktiraf martabat suami.
Dalam masa sama, mengingatkan isteri tentang kemurkaan Allah SWT dan akibat perbuatan nusyuz dilakukan yang tidak diwajibkan ke atas suami untuk memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz.

2. Meninggalkan isteri bersendirian di tempat tidur.

Sekiranya masih tidak berhasil dan isteri mula berkelakuan nusyuz, suami hendaklah memisahkan mereka di tempat tidur atau tidak menyetubuhi isteri. Ini adalah cara lebih berkesan dan tegas untuk menyedarkan isteri supaya dia memahami apa dilakukannya itu adalah salah.
Sekiranya isteri sudah kembali mentaati suami dengan cara berpisah tempat tidur, maka suami tidak boleh memukul isterinya.

3. Memukul isteri dengan pukulan yang tidak membahayakan.

Jika isteri tidak mentaati suaminya dan terus nusyuz, suami boleh memukul dengan tidak melukakan atau tidak membahayakan tubuh badan isteri. Tujuan pukulan itu adalah mendidik dan ia pula bersyarat:

– Tidak memukul bahagian muka dan kepala untuk menjaga kemuliaannya, kawasan yang lemah atau berkaitan kecantikan seperti perut atau dada kerana dikhuatiri akan menyebabkan kecacatan atau kematian.
– Tidak memukul menggunakan alatan keras dan berbahaya seperti tongkat.
– Mengetahui pukulan itu akan menyedarkan isteri tentang kesalahannya. Sekiranya pukulan itu menambahkan kebencian isteri, maka suami tidak sepatutnya melakukannya. Lebih baik suami memberi ugutan sahaja.

Dalam masa sama, isteri mesti mengambil tahu hak mereka jika diperlakukan sedemikian. Jika isteri dianiaya termasuk menjadi mangsa sepak terajang suami dan suami pula enggan menceraikan, si isteri ada beberapa jalan keluar.
– Antaranya tebus talak (khuluk) atau memohon fasakh (membubarkan perkahwinan) melalui mahkamah syariah. Jangan biarkan diri terus dianiaya suami yang panas baran.

Kepada suami, jika sudah tiada persefahaman dan putus kasih sayang, jangan dianiaya isteri. Sebaliknya lepaskan mereka melalui perceraian secara baik.-UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×