Ucapan Fahmi tiada unsur kempen - Polis

Ucapan Fahmi tiada unsur kempen – Polis

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis mendapati tiada sebarang unsur berkaitan kempen pilihan raya negeri (PRN) dalam ucapan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika berkunjung ke Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai lapan saksi dipanggil polis berhubung dakwaan tersebut.

Katanya, polis turut meneliti rakaman video ucapan tersebut yang berdurasi 12 minit dan mendapati tiada sebarang unsur berkaitan kempen PRN.

“Sepanjang 12 minit, polis tidak mendapati sebarang unsur-unsur kempen. Dalam tempoh itu juga, ucapan oleh menteri adalah penerangan berkaitan dengan kumpulan The 1975,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, polis menjalankan siasatan terhadap laporan berkaitan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selepas menerima laporan daripada individu yang hadir ketika Fahmi berada di masjid berkenaan.

FAHMI FADZIL

Hussein berkata, bagaimanapun Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR belum dipanggil untuk memberi keterangan kecuali lapan individu dan pengadu yang hadir bersama sewaktu ucapan tersebut dibuat.

Selain itu, beliau memaklumkan polis sedang mengesan individu bertanggungjawab memuat naik video ucapan tersebut yang dalam masa sama membuat kenyataan tidak benar.

“Kita sedang mengesan siapa yang sebarkan video tersebut dan membuat kenyataan yang tidak benar. Polis mengenal pasti pemilik akaun yang memaparkannya dan kita akan ambil tindakan lanjut. Sudah ada nama dan alamat.

“Kita kena melihat kesalahan orang yang menyebarkan berita itu dahulu, sebab dia tak boleh menyebarkan sebarang perkara. Perkara yang benar okey, perkara yang tidak benar ataupun memfitnah suatu yang kesalahan jenayah,” tegasnya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKM) 1998 serta Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam pada itu, Hussein memberitahu polis membuka tujuh kertas siasatan daripada 272 laporan diterima dan salah satunya dibuka sebelum penamaan calon pada 29 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×