KOTA BHARU: Pas Kelantan mendakwa ada cubaan pihak tertentu untuk mengganggu-gugat kestabilan parti itu dengan melaga-lagakan kepemimpinannya di negeri ini.
Setiausahanya, Wan Roslan Wan Hamat berkata, hasil maklumat yang diperoleh mendapati, ia melibatkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
“Sebenarnya tak ada pun. Namun dia boleh masuk sehingga ke dalam rumah tangga orang ni… sesuatu yang peliklah,” katanya dalam semasa sidang akhbar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan, di sini semalam.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) dilapor meramalkan Ahmad dijangka tidak dinamakan sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya Pas terus mendapat mandat dari rakyat untuk menjadi kerajaan selepas PRN, 12 Ogos ini.
Setiausahanya Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad mendakwa perkara tersebut tidak mustahil berlaku selepas Pas dilihat berdepan krisis dalaman ketika ini.
Wan Roslan berkata, pihaknya mengambil pendekatan untuk tidak menggunakan isu peribadi dan sebagainya sebagai wadah sepanjang berkempen.
Katanya, Pas mengambil pendekatan untuk menerangkan tawaran 18 program yang telah dilancarkan di Tanah Merah baru-baru ini kepada semua segmen pengundi.
“Kita tetap yakin dapat capai sasaran 45-0 di Kelantan kerana pengundi-pengundi di Kelantan mempunyai tahap pemikiran tinggi dan tidak mudah menerima hujah-hujah dikemukakan tentang isu dan perkara-perkara yang berlaku di negeri ini.
“Setakat ini saya rasa tiada kesan. Pagi ini sahaja sudah empat kedai kopi saya singgah dan didapati isu-isu yang dilontarkan itu tidak sedikitpun menjejaskan sokongan rakyat kepada Pas,” ujarnya. – UTUSAN











