Saya tidak sabotaj Bersatu – Faiz Na’aman - Utusan Malaysia

Saya tidak sabotaj Bersatu – Faiz Na’aman

Faiz Na'aman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman tidak sabotaj parti dan calon Pilihan Raya Ne­geri (PRN) sebaliknya kecewa dengan pemilihan calon-calon.

Katanya, beliau mewakili ­suara akar umbi dan bahagian parti yang tidak berpuas hati ekoran pemilihan calon-calon pilihan raya yang dianggap mempunyai ‘muslihat’ tertentu.

“Saya tidak melawan arus parti, tetapi masalahnya adalah kumpulan pembuat keputusan ini. Suara saya mewakili beberapa ketua bahagian dari sembilan bahagian yang tidak puas hati.

“Sebahagian besar adalah orang yang awal-awal lagi membina parti dan bahagian. Tetapi, takkanlah tiada seorang pun ahli Bersatu yang dari awal berkhidmat untuk parti ini menjadi calon sehingga mengambil orang ‘import’ dan baharu?

“Terutamanya di Selangor, wakil daripada sayap Armada (Angkatan Bersatu Anak Muda) pun tiada dicalonkan di PRN Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, hubungannya dengan pemimpin tertinggi parti iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Pre­siden, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin masih baik tetapi mungkin mereka kecewa dengan kelantangannya.

Muhammad Faiz berkata, beliau tidak peduli jika kenyataannya akan memberi kesan terhadap kedudukannya sebagai ahli Bersatu.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan semua pimpinan dan ahli parti tidak mengeluarkan kenyataan beremosi dan merugikan parti sendiri.

Jelasnya, perbezaan panda­ngan diraikan dalam Bersatu namun perlu disalurkan menggunakan saluran yang betul demi keutuhan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×