PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerlahkan kewibawaan Malaysia di persada dunia apabila memenangi Anugerah Pencapaian Khas GIS (SAG) yang berprestij di Persidangan Pengguna Esri Antarabangsa di San Diego, Amerika Syarikat.
Program anugerah tersebut, yang menerima lebih daripada 300,000 pencalonan dari seluruh dunia, telah diasaskan oleh Esri – pemimpin dunia dalam teknologi GIS (Sistem Maklumat Georuang) – untuk mengiktiraf organisasi yang mempelopori aplikasi pemetaan pintar yang baharu dan inovatif.
MBSA dicalonkan atas usahanya melancarkan sistem papan pemuka (dashboard) pemantauan baharu, yang direka bentuk untuk merekodkan data dan meningkatkan kecekapan tempat kerja.
Untuk mencapai matlamat ini, pihak majlis perbandaran itu telah menyediakan peta interaktif dalam papan pemuka tersebut, membolehkan pegawai MBSA merekodkan, menilai dan memberikan maklumat berguna tentang cukai taksiran, jumlah cukai taksiran yang dikutip, kategori cukai taksiran yang berbeza dan statusnya.
Sistem papan pemuka ini juga memaparkan peta berlapis pelbagai bangunan dan kegunaan tanah di bandar raya Shah Alam dengan berkesan.
Lebih daripada 100 kakitangan di pelbagai jabatan boleh menggunakan kemudahan ini, justeru kakitangan MBSA boleh menjawab pertanyaan pelanggan dengan cekap dan memantau status serta syarat pemberian lesen di seluruh Shah Alam.
Timbalan Pengarah Perancangan MBSA, Nurul Sheema Abdul Rahman berkata, komitmen ikhlas MBSA untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang berkualiti kepada penduduk Shah Alam mendorong usaha mereka meningkatkan kecekapan operasi menerusi penggunaan teknologi pintar.
“Sebagai salah satu pihak berkuasa perbandaran yang terbesar di Malaysia, kami bertanggungjawab untuk mengamalkan pendekatan bertumpukan komuniti terhadap transformasi digital.
“Buat masa ini, kami menguruskan kutipan cukai berjumlah lebih daripada RM300 juta daripada kira-kira 275,000 pemegang akaun, jadi kami perlu memuaskan hati penduduk Shah Alam dengan menunjukkan bahawa kami berkhidmat dengan cekap dan berkesan.
“Dengan penggunaan teknologi pintar seperti GIS, kami mampu mencapai kecemerlangan pentadbiran awam dan menyediakan perkhidmatan dalam talian yang lebih baik kepada penduduk Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Petronas telah dicalonkan atas usahanya mencetus transformasi dalam aktiviti penerokaan umum secara digital dengan menerapkan teknologi pemetaan pintar dalam operasi yang sangat rumit.
Syarikat gergasi petroleum ini, yang sering diiktiraf di pentas global kerana pendekatan progresif mereka, telah membangunkan portal Explore on the Go (EOTG) atau Teroka Sambil Bergerak yang membolehkan Ahli Geosains Cari Gali mengkaji dan meneroka secara dinamik.
EOTG ialah platform pemvisualan berasaskan GIS berpusat untuk menyediakan siri aliran kerja yang membolehkan data bersepadu dikongsi dan disediakan kepada seluruh pasukan teknikal dan pengurusan.
Sebelum ini, data hanya boleh didapati menerusi aplikasi berasingan. Hasil penyepaduan ini, EOTG membolehkan paparan dan pentafsiran maklumat – mengukuhkan pemprosesan perniagaan dan menyediakan capaian mudah menerusi aplikasi mudah alih dan web.
Aplikasi teknologi GIS yang dipelopori – untuk merakamkan data perniagaan kritikal syarikat secara berpusat, bagi menganalisis dan meramalkan risiko, ketidakpastian, dan potensi ekonomi – dianggap sebagai mempunyai potensi penggunaan yang menjangkau sektor Petroleum.
Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, CS Tan berkata, di seluruh rantau Asia Pasifik, Malaysia telah memartabatkan kedudukannya sebagai hab inovasi teknologi georuang.
“Memandangkan pencapaian organisasi seperti MBSA dan Petronas sudah diiktiraf di peringkat global, kewibawaan komuniti ruang negara ini boleh diraikan secara lebih meluas.
“Berkat kejayaan memenangi Anugerah SAG, MBSA dan Petronas kini menyertai kumpulan organisasi terkemuka yang pernah memenangi anugerah termasuk Microsoft, Sime Darby, UNICEF, SWCorp Malaysia dan ExxonMobil,” ujarnya. – UTUSAN










