Faiz pertikai penyokong Azmin, Zuraida jadi calon PN

Faiz pertikai penyokong Azmin, Zuraida jadi calon PN

Pengikut Mohamed Azmin Ali yang pernah belot kepada Bersatu didakwa turut diletakkan sebagai calon parti itu dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman tidak berpuas hati dengan cara pemilihan calon wakil rakyat parti itu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang disifatkan ‘lemah dan bermuslihat’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, antara sebab tidak berpuas hati adalah kerana Bersatu sanggup memilih mereka yang telah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk bertanding sekali lagi.

Beliau telah menyuarakan perkara itu secara peribadi dan jika dibawa ke mesyuarat parti pun, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa lebih awal telah menutup ruang perbincangan dengan mempertahan keputusan jawatankuasa pemilihan calon yang telah muktamad.

Katanya, antara calon dianggap tidak layak kerana rakyat telah menolak mereka pada PRU15 ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Parlimen Gombak); Datuk Seri Rina Harun (Sepang); Sasha Lyna Abdul Latiff (Ampang) dan Dr. Afif Bahardin.

Kesemua mereka masing-masing bertanding di DUN Hulu Kelang; Batu Tiga, Bukit Antarabangsa dan Taman Medan.

“Saya lihat masalah ini berlaku sejak PRN di Melaka dan Johor lagi, yang mana kita kalah akibat salah urus dari aspek calon, data yang dibentang dalam mesyuarat kononnya mereka ada nilai sebenarnya tidak selepas post mortem dijalankan.

“Bagi saya, keadaan seperti ini telah berulang. Ada lagi beberapa calon saya tidak kenali yang dikatakan sebagai ‘kem Azmin’ dan muncul dalam PRN kali ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bersatu bertanding 31 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Selangor, 12 Ogos ini. 10 kerusi ditandingi Sayap Bersekutu Bersatu, manakala Pas dan Gerakan masing-masing bertanding 17 dan lapan kerusi.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, terdapat calon-calon bukan Melayu dikesan sebagai pengikut bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), namun turut keluar parti selepas parti itu berdepan krisis dalaman tahun lalu.

“Puak Zuraida ini ada yang masuk Muafakat Nasional (NGO) dan Gerakan. Mereka ini muncul kembali sebagai calon PN atas tiket Gerakan. Jadi, kami marahlah sebab mereka dicalonkan,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga calon asalnya ahli Bersatu namun menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan telah berkempen untuk parti diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir itu, namun masih mendakwa sebagai ahli Bersatu kemudian dicalonkan bertanding PRN.

Tidak menyebut nama calon, bagaimanapun, katanya, kes tersebut dilaporkan di dalam Parlimen Kuala Selangor di DUN Bukit Melawati. Semakan Utusan Malaysia mendapati calon bertanding mewakili Bersatu atas nama ‘Norazley Yahya’.

“Ada juga kes yang calon bukan datang daripada mana-mana parti tetapi daripada pertubuhan (NGO) bai’ah, bekas gengster, penjawat Ketua Setiausaha. Watak-watak ini tiada jasa pun kepada Bersatu, tetapi tiba-tiba sahaja dicalonkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×