‘Londeh-melondeh’ PN, PH-BN hangatkan kempen PRN Kedah

‘Londeh-melondeh’ antara PN, PH-BN hangatkan kempen PRN Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDAH memiliki 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan direbut oleh 83 orang calon daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Bebas serta seorang mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Walaupun penamaan calon dan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, kehangatan program bersifat politik di negeri ini sebenarnya sudah lama dirasai sejak lebih sebulan.

Pelbagai ceramah, himpunan serta program diatur baik oleh PN atau PH-BN yang mengete­ngahkan pelbagai isu sehingga memasuki tempoh berkempen pada saat ini.

Antara topik utama digunakan PH-BN sudah tentu pendedahan demi pendedahan berkaitan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik yang mula dilapor secara eksklusif oleh Utusan Malaysia pada 3 Oktober tahun lalu.

Isu tentang mineral REE yang dikaitkan dengan kerajaan ne­geri dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bertambah panas apabila berlaku tangkapan melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

Malah, beberapa hari sebelum penamaan calon, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan seorang pegawai kanan kepada Menteri Besar bagi siasatan kes meminta rasuah berjumlah RM1 juta dipercayai membabitkan syarikat yang melombong REE.

Tajuk REE boleh dikatakan akan disentuh setiap calon PH-BN mahupun penceramah undangan yang merasakan isu terbabit mampu membuka mata kira-kira 1.5 juta pengundi di negeri Kedah untuk membuat pilihan sewajarnya pada 12 Ogos ini.

Tambahan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sering me­lontarkan pelbagai persoalan berkaitan kecurian REE yang menuntut penjelasan Muhammad Sanusi.

Namun, isu berkaitan tatakelola itu tidak dipandang sepi oleh PN terutama Muhammad Sanusi selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya gabungan itu apabila beliau pula mula membuat pendedahan mengenai kepincangan yang didakwa dilakukan kepimpinan PH-BN ketika mentadbir negeri Jelapang Padi itu sebelum ini.

Pendedahan pertama yang dilakukan calon PN bagi DUN Jeneri itu adalah melibatkan kerugian RM36 juta yang dialami Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada 2018 hingga 2020 serta hutang berjumlah RM149 juta yang didakwa berlaku ketika zaman PH.

BN pula perlu menjawab mengenai perjanjian dengan sebuah syarikat untuk membangunkan Jerai International Park yang menurut Muhammad Sanusi kerajaan negeri dituntut saman RM150 juta sebelum rundingan berjaya mengurangkan jumlah kepada RM21 juta.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, satu lagi kes yang Saifuddin perlu siasat adalah pemindahan wang milik MBI Kedah yang berjumlah RM13 juta ke Kanada.

Disebabkan kempen PRN baru memasuki gear pertama, ramai beranggapan akan ada lagi pendedahan lain dibuat sama ada oleh PH-BN atau PN yang antaranya bertujuan untuk memenangi hati pengundi di negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×