Dekati pengundi muda Jeram, terang kepentingan PRN

Dekati pengundi muda Jeram, terang kepentingan PRN

JAHAYA Ibrahim menyantuni peniaga-peniaga Pasar Malam Bukit Kuching di Jeram, Kuala Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Orang muda yang akan mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini perlu diberi pemahaman jelas mengenai kepentingan me­nunaikan tanggungjawab itu dan kesannya kepada negara.

Kegagalan memahami de­ngan jelas menyebabkan pengundi pada usia 18 hingga 21 tahun itu tidak dapat membuat pilihan tepat untuk memastikan kestabilan politik yang boleh menjamin pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Jahaya Ibrahim berkata, dua pihak iaitu ibu bapa atau ahli keluarga dan kepimpinan kerajaan serta politik perlu memainkan peranan memberi pemahaman yang jelas terutama kepada pengundi kali pertama.

“Cuma saya bimbang, pengundi muda terutama di Jeram belum ada kesedaran tentang mengundi dan tidak ramai yang tahu tentang kepentingannya. Jadi saya minta ibu bapa beri perhatian kepada anak-anak masing-masing.

“Di peringkat kepimpinan kita anjurkan program sukan, aktiviti berbentuk hiburan dan sebagainya supaya dalam masa sama kita dapat sampaikan mesej penting tentang kepen­tingan mengundi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Jahaya adalah Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor dan pernah bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) 2008.

Pada PRU15 lalu, Jeram me­nyaksikan peningkatan pengundi baharu dan muda sekitar 3,000 orang dan angka signifikan terhadap kumpulan itu juga dicatatkan sekitar 700 orang di 12 Pusat Daerah Mengundinya (PDM) bagi PRN ini.

Selepas lebih 10 tahun, beliau kembali menjadi calon bagi PRN kali ini dan berhasrat membawa pembangunan asas seperti penambahbaikan infrastruktur, kemudahan perkhidmatan kerajaan dan pusat perniagaan.

Menurutnya, Jeram memerlukan pembangunan yang seimbang bagi penduduk di kawasan tersebut terutama di Puncak Alam sebagai bandar baharu di situ apabila kemudahan-kemudahan di sana perlu ditambah baik.

“Peluang ekonomi harus terbuka untuk orang Jeram, wujudkan tempat untuk orang berniaga. Itu antara misi saya, peluang perniagaan itu dilebarkan. Mesti ada pusat-pusat niaga.

“Fokus saya, seperti di Puncak Alam, pengundi di situ dalam 15,000 orang, tetapi dalam masa sama di kawasan kampung-kampung juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

Di Puncak Alam penduduknya ramai, perlu ada kemudahan seperti balai polis, balai bomba, klinik kesihatan, bank dan sebagainya.

“Dahulu masa ada Klinik 1Malaysia, orang cuma datang bayar RM1, sekarang tak ada. Itu semua dalam pemikiran dan perancangan saya yang mesti diwujudkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×