JEMPOL: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir akan berkempen secara maya selepas patah kaki dalam kemalangan di Tampin, semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu boleh memanfaatkan teknologi sedia ada.
“Saya baru menziarahi Datuk Zaidy, calon bagi DUN Jeram Padang, beliau stabil, tidak ada perkara yang serius, cuma kakinya patah dan saya tidak fikir beliau boleh berkempen secara agresif bagi tempoh 11 hari ini. Itu tidak mendatangkan masalah kerana beliau boleh melakukan kempen dengan pendekatan secara maya,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi Mohd. Zaidy di Hospital Jempol, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, Mohd. Zaidy patah kaki kiri selepas terbabit dalam nahas di Jalan Pasir Besar-Palong, Tampin, kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Ujar belia, nahas melibatkan kenderaan Ford Ranger yang dipandu Mohd. Zaidy ke Palong dari arah Bahau.
“Akibat kemalangan itu, beliau mengalami kecederaan patah kaki kiri dan penumpang pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Jempol untuk rawatan segera.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, penumpang kenderaan yang dikenali sebagai Muhammad Khairul Ahnaf Baharom difahamkan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
Jalaluddin yang juga calon BN bagi DUN Pertang menasihatkan semua calon yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) supaya menjadikan insiden berkenaan sebagai iktibar untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri.
“Waktu-waktu sebegini kurang rehat untuk setiap calon, letih dan sebagainya. Jadi jangan ambil mudah soal keselamatan, kesihatan. Betul kita berkempen semaksimum mungkin tetapi dalam soal keselamatan tidak boleh berkompromi,” katanya yang turut berharap seorang rakan Mohd. Zaidy yang kini kritikal supaya segera sembuh.
Berikutan keadaan Mohd. Zaidy itu, beliau telah melantik Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Jeram Padang. – UTUSAN











