
BIARPUN diasak arus peredaran zaman, seorang warga emas masih mampu mengekalkan legasi perniagaan bantal kekabu yang diusahakannya sejak lima dekad lalu.
Fatimah Romli, 61, komited meneruskan perniagaan bantal kekabu di tepi laluan utama Batu 19, Jalan Padang Besar biarpun kepelbagaian jenis bantal dijual di pasaran.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu kekal positif menaruh keyakinan tinggi bahawa produk bantal kekabu asli dihasilkannya itu masih mempunyai peminat tersendiri.
Fatimah berkata, dia mula mempelajari menghasilkan bantal kekabu asli seawal usia 10 tahun selepas ibunya, Khalijah Hussain, 80, memutuskan untuk memulakan perniagaan itu.
“Saya mempelajari menghasilkan bantal kekabu ini daripada ibu saya dan ia masih diteruskan sehingga kini memandangkan terdapat permintaan daripada orang ramai,” katanya.
Tambah Fatimah, dalam masa sebulan, dia dapat menjual sekitar 30 hingga 40 bantal kekabu asli yang sememangnya sentiasa mendapat permintaan dari pelanggan sama ada di dalam mahu pun luar negeri ini.
Katanya, dia juga mampu menghasilkan sekitar 80 bantal kekabu asli sehari dengan mendapat bantuan daripada dua orang pekerja.
“Pekerja yang saya upah hanya membantu memasukkan kekabu ke dalam sarung dan saya sendiri akan mengambil tugas bagi menjahit bantal-bantal berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, dia juga membeli kekabu bagi menghasilkan bantal berkenaan dari Bangkok, Thailand memandangkan bekalan di kawasan berhampiran kian sukar diperolehi kini.
Ujar Fatimah, dia kebiasaan membeli sebanyak 700 kilogram bekalan kekabu dalam masa tiga bulan bagi menghasilkan bantal berkenaan.
“Dahulu memang saya banyak mengambil bekalan kekabu dari penduduk sekitar di sini namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia semakin sukar diperolehi dan mendorong saya untuk membeli dari luar,” katanya.
Selain itu, Fatimah berkata, dia memasarkan bantal-bantal kekabu berkenaan pada harga bermula RM20 sehingga RM40 bergantung kepada saiz dan jenis.
Katanya, bantal-bantal kekabu yang dijual itu sentiasa mendapat permintaan daripada orang ramai khususnya sewaktu cuti persekolahan.
“Pada musim cuti persekolahan, ramai orang luar yang ingin ke arked niaga Padang Besar akan singgah bagi mendapatkan bantal kekabu yang dijual di sini,” katanya.

Di samping itu, Fatimah berkata, bantal kekabu masih mempunyai peminat tersendiri berikutan ia lebih sejuk dan lembut berbanding bantal-bantal moden.
Katanya, bantal kekabu asli juga mampu bertahan lama untuk tempoh sekitar lima tahun dan membuatkannya masih menjadi pilihan sesetengah pihak.
“Mungkin ada pihak beranggapan bantal kekabu tidak lagi mendapat permintaan sebagaimana sebelum ini namun sebenarnya ia masih mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.
Tambah Fatimah, dia turut mewariskan hasil pembuatan bantal kelabu itu kepada anaknya, Diana Abdullah, 26, bagi menyambung legasi itu agar tidak hilang ditelan zaman.
“Selain menjual di kedai, kami turut memasarkan bantal kekabu asli ini menerusi media sosial dan akan mengembangkan lagi perusahaan ini menerusi platform jualan dalam talian,” katanya. – UTUSAN










