MUKADIMAH
ANDREW TEOW CHIN SIANG mungkin tidak sepopular pemimpin lain dalam arena politik negara. Namun siapa tahu perjalanan politiknya penuh berliku ketika bersama Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) empat tahun.
Justeru, ikatan dengan Gerakan tidak kekal apabila beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan angkara krisis dalaman PBM Andrew menyertai pula Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP).
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, Andrew menyuarakan misinya selepas dicalonkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Puyu, Pulau Pinang atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Bertanding kali pertama, bagaimana perasaan anda?
Ini adalah permulaannya dan saya berbangga dicalonkan oleh pimpinan tertinggi PN. Fokus saya jika dipilih sebagai wakil rakyat di peringkat negeri adalah ekonomi. Saya meletakkan ‘bahagian’ kecil sahaja dahulu, melainkan saya dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang satu hari nanti.
Tidakkah janggal jadi penyokong Pas?
Saya secara rasmi menyertai DHPP yang menyokong Pas pada Februari lalu. Sejujurnya, saya bangga menjadi ahli menyokong Pas. Gerak kerja saya dengan Pas sudah bermula sejak tahun lalu lagi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Saya dapati budaya politik Pas berbeza daripada apa yang dianggap sebagai melawan orang bukan Islam. Hakikatnya tidak benar. Pemimpin mereka juga memang saling membantu bangsa lain.
Tidakkah lebih janggal apabila anda kini juga dalam PN?
Sebab budaya dan pembawaan mereka berbeza. Tetapi saya enggan mengulas lanjut sebab kurang manis dipandang lebih-lebih lagi Gerakan dan Pas di bawah bumbung yang sama. Namun, saya lebih gemar bergaul dengan orang Melayu tetapi tidak juga saya melawan arus masyarakat Tionghoa. Hubungan saya dengan Gerakan juga baik.
Adakah keputusan keluar PBM sebab anda pengikut Datuk Zuraida Kamaruddin?
Tidak, saya tidak memihak kepada sesiapa. Saya keluar PBM sebab ada kucar-kacir di peringkat tertinggi. Ideologi dan kepemimpinan mereka juga tidak stabil. Bagaimana mahu bantu rakyat? Demi membantu rakyat, anda perlukan parti yang kuat. Saya letak jawatan sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBM dan Ketua Pemuda Pulau Pinang pun sebab masalah dalaman.
Pas didakwa sebagai parti ekstremis, tetapi anda memilih jalan ini?
Pihak terbabit hanya memburukkan nama, carilah fakta. Saya tidak suka sikap bercakap tidak benar dan menyebarkan kebencian. – UTUSAN











