SAMA ADA Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), kedua-duanya dilihat membuka gelanggang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang dengan ‘langkah kiri’.
Ia berikutan kontroversi pemilihan calon untuk bertanding pada PRN kali ini yang menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong dan ahli kedua-dua parti.
Meskipun kontroversi pemilihan calon adalah lumrah setiap kali pilihan raya dan berlaku dalam mana-mana parti yang bertanding, namun situasi pada PRN Pulau Pinang kali ini agak berbeza kerana ia menimbulkan banyak persoalan dan keraguan berhubung keputusan pucuk pimpinan parti masing-masing dalam membuat keputusan.
Di kem PH Pulau Pinang misalnya, pengguguran nama-nama besar khususnya daripada DAP yang diketuai Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Prai menyebabkan rasa tidak puas hati khususnya dalam pengundi India.
Kemarahan pengundi India itu ditambah dengan pengguguran seorang lagi pemimpin muda komuniti kaum itu, M. Satees daripada mempertahankan kerusi disandangnya di DUN Bagan Dalam.
Seperti dijangka, pengguguran kedua-dua pemimpin India berkenaan tidak mudah diterima dalam kalangan penyokong mereka.
Akibatnya, di kedua-dua kerusi DUN itu menyaksikan calon Bebas bertanding termasuk Satees sendiri sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pucuk pimpinan DAP.
Situasi sama turut berlaku di kem PN yang meskipun tidaklah sehingga menyaksikan ada yang bertanding sebagai calon Bebas kerana tidak berpuas hati, namun turut boleh memberi kesan yang tidak menguntungkan buat parti berkenaan.
DUN BAYAN LEPAS
Yang dimaksudkan adalah pencalonan Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau untuk bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan kawasan majoriti Melayu dan kubu kuat penyokong Pas.
Sehingga kini, sukar mencari logik dan menerima strategi yang cuba diatur PN dengan meletakkan Dominic yang juga Presiden Parti Gerakan Pusat di kerusi berkenaan.
Dominic mungkin menyangka bertanding di kerusi majoriti Melayu memberi kelebihan kepada beliau yang mungkin boleh mengambil kesempatan daripada fenomena ‘gelombang hijau’ seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun, dengan penolakan penyokong dan ahli-ahli Pas di kawasan berkenaan terhadap pencalonannya, Dominic kini bakal berdepan undi protes dan boikot daripada pengundi berkenaan yang merupakan kelompok majoriti di kawasan itu.
Apa pun strategi PN dan Dominic di kerusi berkenaan, ia dilihat hanya memakan diri dan merugikan parti tersebut yang kini hampir pasti terlepas satu kerusi yang sepatutnya boleh dirampas sekiranya calon Pas diletakkan bertanding.










