KANGAR: Demi mencari rezeki untuk membantu menambah pendapatan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19, seorang suri rumah sanggup ‘berpanas’ memakai kostum adiwira Spidergirl bagi menarik perhatian pelanggan.
Ibu kepada dua anak yang hanya mahu dikenali sebagai Spidergirl itu berkata, dia pada mulanya hanya mahu mencuba nasib menjual minuman jenama Pati Teh Ais Avenger kira-kira sebulan lalu di Kampung Gunung Medan, Utan Aji di sini bagi meringankan beban suami, namun siapa sangka perniagaan tersebut mendapat sambutan hebat.
Kata wanita berusia 36 tahun itu, dia tidak kekok mengenakan kostum tersebut kerana didorong dengan niatnya yang ikhlas menjana pendapatan agar dapat menyediakan keperluan kepada anak-anak yang berusia 11 tahun dan setahun.
“Suami juga tidak menghalang saya menjadi Spidergirl malah dia sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk berniaga.
“Saya mula menjual teh ais ini dengan sebagai ejen dropship dengan modal kurang daripada RM100. Kini saya mampu menjual kira-kira 100 botol setiap hari dengan pendapatan sehingga empat angka sebulan,” katanya ketika ditemui di Jalan Raja Syed Alwi di sini, semalam.
Dalam pada itu, ketua ejen Pati Teh Ais Avenger Perlis, yang hanya mahu dikenali sebagai Kay, 32, berkata, dia yang dibuang kerja sejak tahun lalu tidak pernah menyesali nasibnya itu kerana dipertemukan dengan perniagaan terbabit.
Dia yang memilih mengenakan kostum adiwira Spiderman memberitahu, pada awalnya agak malu untuk berlagak adiwira sambil menjual teh ais tetapi demi kelangsungan hidup dan keluarga semua itu diketepikan.
“Jualan yang kami peroleh juga amat memberangsangkan sehingga mencapai 3,500 botol pada bulan lalu. Pada bulan ini, kami menyasarkan untuk mencapai 10,000 botol bagi keseluruhan Perlis,” katanya. – UTUSAN ONLINE











