Heroin belakang tabir Covid-19 - Utusan Malaysia

Heroin belakang tabir Covid-19

NORSHANINA MOHAMAD NOR antara tenaga kerja Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ramai yang berbicara tentang peranan jurutera makmal sebagai antara petugas penting dalam menangani wabak Covid-19.

Walaupun bukan dalam kalangan petugas barisan hadapan, namun ketiadaan kumpulan profesional ini boleh melumpuhkan gerak kerja pasukan perubatan dalam menentukan keadaan kesihatan pesakit.

Apatah lagi, negara sedang berdepan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat dengan kes positif setiap hari mencecah empat angka sehingga kerajaan terpaksa membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, selepas ditutup pada 15 Julai tahun lalu.

Sudah tentu segala aturan tugas perlu dilaksanakan dengan pantas melalui kerjasama berpasukan supaya perkhidmatan kepada pesakit berjalan lancar, termasuklah pasukan perubatan makmal.

Juruteknologi Makmal Perubatan, Norshanina Mohamad Nor, 34, antara tenaga kerja di sebalik operasi PKRC. Bertugas 12 jam sehari bagaikan rutin sejak pandemik Covid-19 menyelubungi negara.

Beliau ditugaskan melakukan ujian darah ke atas pesakit Covid-19 sebagai ujian rutin harian. Ia dijalankan bagi memantau tahap kesihatan pesakit.

DIPANGGIL SEMULA

Sejak ditugaskan pada Mac tahun lalu pada PKRC 1.0 sebelum dipanggil semula bertugas pada Disember lalu, Full Blood Count dan ujian biochemistry seperti CRP, renal profile dan liver function test antara rutin dilakukan hampir setiap hari.

Sampel ujian akan dihantar ke makmal Hospital Serdang.

Selain itu, Norshanina turut membuat Ujian RTK-Ag Covid-19 untuk saringan surveillance kepada petugas yang bertugas di PKRC 2.0 MAEPS.

“Secara purata, 50 hingga 70 sampel ujian darah dilakukan sehari. Bagi ujian RTK-Ag Covid-19 pula, purata 20 ke 40 sehari. Secara total sebanyak 1,974 ujian dilakukan kumpulan kami sejak Disember lalu.

“Jumlah ini agak banyak memandangkan PKRC 2.0 MAEPS memiliki enam dewan yang beroperasi,” katanya.

Beliau mula bertugas dengan Kementerian Kesihatan pada April 2009. Bermula dengan Hospital Kajang (sehingga 2016), beliau kemudian bertukar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sehingga kini.

 

PENGEMPARAN sampel darah bagi ujian-ujian Biochemistry.

LAPAN ORANG

Norshanina yang merupakan antara lapan petugas dalam skop kerja berkenaan, memberitahu, setiap hari para doktor akan memantau tahap kesihatan pesakit.

Sekiranya ada simptom atau kesihatan kurang memuaskan, doktor akan mengambil darah untuk dianalisis.

Mesra dipanggil Nina, katanya, buat masa ini beliau dan kumpulannya sedang melakukan tugasan mengoperasikan sebuah makmal sementara di PKRC MAEPS.

Katanya, pusat itu kelak akan dinaik taraf untuk dijadikan hospital bersepadu yang akan menempatkan pesakit separa kritikal.

“Dengan penubuhan makmal ini, ia sekali gus membolehkan analisis sampel dilaksanakan di situ tanpa perlu dihantar ke makmal Hospital Serdang.

“Penghantaran sampel ke Hospital Serdang hanya untuk ujian-ujian khas sahaja,” katanya.

Mengenai kepentingan bidang patologi, Norshanina berkata, mengkaji perubahan struktur atau fungsi sesuatu organ yang disebabkan oleh sesuatu penyakit adalah amat penting.

Ia melibatkan penganalisaan sampel cecair badan atau tisu di makmal patologi menggunakan keadah penganalisaan mengikut jenis ujian.

Bukan hanya terlibat dalam pendiagnosan penyakit tetapi juga penting dalam penyaringan penyakit, mengesan keberkesanan rawatan serta pemantauan tahap penyakit.

“Kalau ujian makmal ini tidak ada, ia tidak dapat membantu para doktor untuk merawat pesakit. Ada pesakit dirawat di sini kadang-kala tidak bergejala. Malah ada antara mereka ada penyakit sampingan lain.

“Oleh itu pentingnya ujian-ujian darah seumpama ini untuk menentukan tahap kesihatan pesakit, sama ada dari kategori pertama atau jika teruk boleh merosot ke kategori tiga.

“Sekiranya tempoh kuarantin 10 hari, dan pesakit sihat selain rutin ujian darah normal, pesakit boleh discaj,” katanya.

TIDAK PERNAH PATAH SEMANGAT

Ibu kepada tiga anak ini mengakui perkhidmatannya di PKRC agak memenatkan. Namun, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat membantu negara menangani Covid-19. Apatah lagi bidang kerjaya ini merupakan impiannya sejak kecil.

Dia memberitahu, pengalaman berharga ini tidak boleh dibeli dan ia memberi satu kepuasan bagi dirinya kerana terpilih memberi sumbangan kepada komuniti.

Pihak pengurusan PKRC MAEPS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), juga menurut Nina, tidak mengabaikan segala keperluan dan kemudahan para petugas sekali gus mewujudkan persekitaran kerja kondusif.

“Sememangnya masa bersama keluarga amat terhad, tapi saya bersyukur mempunyai suami, Mohd. Hanif Mohd. Kassim yang amat memahami. Anak-anak saya pula mampu berdikari ketika ketiadaan saya keluar bekerja,” katanya.

Beliau turut menyifatkan ia pengalaman dilalui sebagai luar biasa kerana dapat bertugas di lapangan bergabung tenaga dengan pelbagai agensi lain.

“Segala penat lelah terbayar apabila turut dihargai pesakit melalui ucapan dan kata-kata semangat,” katanya.

 

KETELITIAN kerja diperlukan semasa bertugas di makmal.

Walaupun bertugas di belakang tabir, merekalah sebahagian tulang belakang dan srikandi pasukan perubatan negara.Ibu kepada tiga anak ini mengakui perkhidmatannya di PKRC agak memenatkan.

Namun, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat membantu negara menangani Covid-19. Apatah lagi bidang kerjaya ini merupakan impiannya sejak kecil.

Dia memberitahu, pengalaman berharga ini tidak boleh dibeli dan ia memberi satu kepuasan bagi dirinya kerana terpilih memberi sumbangan kepada komuniti.

Pihak pengurusan PKRC MAEPS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), juga menurut Nina, tidak mengabaikan segala keperluan dan kemudahan para petugas sekali gus mewujudkan persekitaran kerja kondusif.

“Sememangnya masa bersama keluarga amat terhad, tapi saya bersyukur mempunyai suami, Mohd. Hanif Mohd. Kassim yang amat memahami. Anak-anak saya pula mampu berdikari ketika ketiadaan saya keluar bekerja,” katanya.

Beliau turut menyifatkan ia pengalaman dilalui sebagai luar biasa kerana dapat bertugas di lapangan bergabung tenaga dengan pelbagai agensi lain.

“Segala penat lelah terbayar apabila turut dihargai pesakit melalui ucapan dan kata-kata semangat,” katanya.

Walaupun bertugas di belakang tabir, merekalah sebahagian tulang belakang dan srikandi pasukan perubatan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×