GOMBAK: Perikatan Nasional (PN) mahu menang di semua negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk dijadikan referendum penolakan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan yang didakwa gagal menangani beban kos sara hidup rakyat.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menyifatkan PRN di enam negeri sebagai signifikan besar untuk gabungan itu merampas negeri-negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH).
“PRN ini amat penting, bukan sahaja sekadar pilihan raya negeri semata-mata tetapi sebagai referendum kemarahan rakyat terhadap (Perdana Menteri), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Anda boleh lihat sendiri penolakan menyeluruh, jadi ini (PRN) sangat signifikan bagi kami, sudah tentu kami mahu menang Selangor dan negeri lain di samping Kelantan, Terengganu dan Kedah,” kata beliau ketika ditemui di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di sini semalam.
Terdahulu, Muhyiddin berarak mengiringi tiga calon PN yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Sungai Tua dan Gombak Setia.
Kata Muhyiddin, pihaknya yakin dapat merampas Selangor daripada PH setelah melihat sokongan rakyat sejak kebelakangan ini.
Beliau mendakwa berdasarkan bacaan pihaknya, PN kini mendahului berbanding pencabar lain.
“Namun saya tidak anggap ini sebagai konklusif, tetapi lihat sokongan bawahan, jumlah menghadiri ceramah.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kempen pada PRN kali ini akan menggunakan duit yang disumbangkan penyokong dan orang ramai.
Menurut beliau, ini kerana akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan sekali gus menyukarkan untuk menggerakkan kempen pilihan raya.
“Jadi, kenapa kita perlu mempersoalkan (derma yang diberikan) kerana saya tidak mempertikai berapa banyak (wang) mereka (PH-BN) belanjakan (untuk kempen mereka),” kata beliau.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut mempersoalkan dari mana kerajaan memperoleh RM1 atau RM2 bilion untuk melaksanakan Ekonomi Madani yang baru dilancarkan.- UTUSAN











