MUKADIMAH
MESKIPUN tewas di peringkat Parlimen dengan majoriti hampir 11,000 undi berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), DATUK SERI MAHDZIR KHALID terus menyahut cabaran dalam dunia politik.
Kali ini, beliau meneruskan perjuangan apabila bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di kawasan Pedu.
Melihat kepada momentum pada PRN, Mahdzir berkata, ia masih terlalu awal untuk membuat ramalan, namun, berdasarkan dimensi politik baharu pada hari ini, beliau optimis dapat menewaskan pihak lawannya.
Bersama wartawan Mingguan Malaysia, ASLINDA NASIR, Mahdzir berkongsi pandangannya mengenai perjalanan PRN ini.
UTUSAN: Kenapa Datuk Seri masih berani bertanding kali ini di peringkat DUN walaupun pernah kalah di peringkat Parlimen?
MAHDZIR: Saya dapat rasakan rakyat mula sedar dan membuat penilaian apa yang pernah kita sumbangkan dulu berbanding kerajaan Perikatan Nasional (PN). Kali ini kerjanya lebih mudah. Jika rakyat terus memilih kita untuk menjadi kerajaan negeri, kita boleh terus berunding dengan kerajaan Pusat dalam mengurus tadbir hal-hal yang berkaitan di Kedah. Saya kalah sebelum ini pun disebabkan gelombang dan naratif yang dibawa oleh PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Ramai yang percaya dan terpedaya. Saya percaya perkara itu tidak berlaku dalam PRN kali ini.
Adakah Datuk Seri melihat DUN lebih mudah untuk peroleh kemenangan berbanding di peringkat Parlimen?
Sememangnya DUN lebih ‘ringan’ daripada Parlimen sebab DUN hanyalah spesifik di kawasan yang lebih kecil. Cuma untuk setakat ini, kita belum habis touch di kawasan yang saya tandingi. Kita akan pergi pada semuanya sebelum sampai pada tarikh pengundian 12 Ogos ini. Bagaimanapun, jentera kita sudah mula buat kerja dan kerja-kerja itu kita teruskan sehingga tamat tempoh berkempen.
Apakah kayu ukur yang Datuk Seri letakkan untuk peroleh kemenangan kali ini?
Sudah pasti kita bergantung kepada pengundi putih. Jentera kita akan terus mendekati mereka dengan memberi kefahaman mengenai kerjasama politik yang diadakan sekarang bersama Pakatan Harapan. Kita faham, ada yang terima, ada sebaliknya. Begitu juga dengan pengundi kelabu yang kita harapkan mereka akan juga mengundi kita. Selain itu, mungkin ada juga pertambahan pengundi yang sebelum ini menyokong PN, namun, kali ini tidak lagi menyokong parti itu kerana tidak bersetuju dengan tindakan beberapa pemimpin yang saya tidak mahu sebutkan namanya.. Itu juga antara faktor yang boleh menyebabkan pertambahan undi kepada kita.
Sentimen gelombang hijau masih kuat di negeri Kedah? Apa langkah yang BN cuba lakukan untuk menangkis naratif tersebut?
Saya tidak nafikan gelombang itu masih ada. Namun kita percaya ia tidak kuat seperti sebelum ini dan rakyat sudah boleh buat perkiraan sewajarnya.
Mood penerimaan rakyat terhadap terhadap PH-BN di Kedah?
Masih terlalu awal, namun saya boleh katakan ia semakin positif terhadap BN. Dengan kerjasama daripada PH, ia membantu dalam meningkatkan sokongan berikutan gerak kerja yang kita telah jalankan. – UTUSAN











