BAYAN LEPAS: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Datuk Dr. Dominic Lau yakin beliau akan disokong semua parti komponen PN termasuk ahli-ahli Pas.
Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, ahli Pas turut hadir pada proses penamaan calonnya walaupun tidak dapat dikenal pasti kerana semua memakai baju PN.
“Bukan sahaja parti komponen, malah saya juga yakin akan ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak gereja dan tokong akan bantu saya. Ini kerana, pengundi bukannya semua datang daripada parti politik, sebaliknya ia terdiri daripada rakyat Pulau Pinang.
Berita berkaitan:
“Saya betul-betul berharap agar mereka beri sokongan penuh untuk saya mendapat mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,” kata Presiden Parti Gerakan itu selepas penamaan calon di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar di sini semalam.
Kerusi DUN Bayan Lepas menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Dominic dengan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga penyandangnya, Azrul Mahathir Aziz.
MEMBOIKOT
Sebelum ini, ahli-ahli Pas Cawangan Bayan Lepas mengugut untuk memboikot pencalonan Dominic kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan PN meletakkan Presiden Gerakan di kerusi yang menjadi majoriti pengundi Melayu dan kubu kuat Pas.
Difahamkan, calon PN di kerusi DUN Bayan Lepas itu pada mulanya diberikan kepada Pas yang menamakan Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim.
Ditanya cabaran untuk mendapatkan sokongan Melayu, Dominic berkata, PN mengharapkan sokongan daripada semua kaum, bukan hanya daripada pengundi Melayu.
“Pengundi di Bayan Lepas adalah pelbagai kaum, oleh itu sebagai calon PN, kami mahu daptkan sokongan semua lapisan masyarakat tak kisah daripada mana-mana kaum dan agama atau yang miskin dan kaya.
“Sebab kita akan berusaha untuk dapatkan mandat dan sokongan daripada seluruh penduduk Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul Mahathir berkata, beliau tidak akan mengambil mudah cabaran PRN kali ini meskipun turun sebagai penyandang kerana menyedari lawannya memiliki nama besar dalam politik.
Begitupun, jelasnya, PH sudah bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja lawan di kerusi itu dan yakin rakyat sudah membuat keputusan dan menilai parti yang dimahukan mereka sejak lima tahun lepas.
“Kita nampak kesatuan mereka (PN) tak kukuh, ada masalah dengan parti dan calon yang mahu bertanding di sini, jadi itu akan jadi kekuatan kepada kita semula,” katanya. – UTUSAN











