Covid-19 ruang perkasa spiritual - Utusan Malaysia

Covid-19 ruang perkasa spiritual

Pandemik Covid-19 sewajarnya dipandang dari sudut positif untuk seseorang berubah ke arah kebaikan. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BILANGAN kes mencecah hampir 100 juta orang dan bilangan kematian mencecah hampir dua juta orang di seluruh dunia, namun pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir. Ternyata pandemik ini merubah hampir keseluruhan kehidupan. Hal ini telah mencetus satu cabaran besar terhadap bidang kesihatan.

Pandemik ini seharusnya menjadi pencetus kepada setiap individu untuk kembali memikirkan tentang makna, tujuan dan nilai hidup sebenar, meliputi seluruh aspek kesejahteraan dan kematian.

Dalam ruang waktu sebegini, pemerkasaan aspek spiritual merupakan usaha yang sangat penting demi memastikan pengurusan kesihatan secara menyeluruh. Di saat ini kita tiada pilihan melainkan untuk kembali kepada agama yang menyediakan panduan hidup yang lengkap.

Kehidupan berasaskan spiritualiti mampu menjadikan seseorang untuk melihat apa jua ujian dan cabaran sebagai peluang untuk meningkatkan keupayaan diri. Menggunakan akal dan hati membolehkan seseorang memahami tujuan dan nilai kehidupan.

Cabaran merupakan lumrah kehidupan yang tidak dapat dielakkan malah jika dilihat melalui sudut pandang Islam, inilah matlamat kenapa manusia dihidupkan iaitu untuk melalui ujian, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Mulk: 2 yang bermaksud; “Dialah yang telah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa di antara kamu yang paling baik amalannya”.

Tiada siapa yang menduga kita berhadapan satu ujian yang sangat dahsyat sehingga kehebatan sains dan teknologi masih belum berupaya untuk mengawal virus mikroskopik ini. Ternyata manusia masih belum hebat.

Kita tidak mempunyai pilihan selain menghadapi dugaan ini secara bijaksana serta positif. Inilah ruang masa untuk membina kesabaran dan kekuatan spiritual bagi menjadikan dirinya insan yang lebih baik.

Berdepan situasi sebegini menuntut seseorang individu untuk bertindak sebaik mungkin bersama minda yang berkembang (growth mindset) dan bukan individu minda yang statik. Di saat ini juga kita perlu untuk memiliki jiwa yang kental, mempercayai bahawa ujian tersebut datangnya dari Tuhan demi untuk kebaikan manusia jua. Perasaan berbaik sangka kepada Tuhan perlu sentiasa ada.

Justeru seharusnya kita kembalikan ujian tersebut kepada Tuhan dengan memohon agar diberi panduan untuk memperoleh jalan penyelesaiaannya. Berdepan dengan ujian yang sebegini, hati perlu dididik agar menjadi lebih lembut dan lebih tawaddhuk untuk terus mendekatkan diri kepadanya. Mereka yang memiliki jiwa seperti inilah mampu menukar ujian menjadi peluang untuk membangunkan diri.

DR. RATNA ROSHIDA
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×