Kemiskinan di bandar meningkat tahun lalu

Kemiskinan di bandar meningkat tahun lalu

PENJAWAT awam, Tengku Mazlin Tengku Ab Hamid menunjukkan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, kemiskinan di bandar meningkat tahun lalu pada 4.5 peratus daripada 3.9 peratus, 2019.

Bagaimanapun, kemiskinan di luar bandar mencatatkan penurunan daripada 12.4 peratus kepada 12.0 peratus bagi tempoh sama.

Laporan itu juga menunjukkan bilangan isi rumah miskin tegar dengan pendapatan di bawah RM1,198 menurun kepada 0.2 peratus (18,45 isi rumah) berbanding 0.4 peratus pada 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kemiskinan mutlak pada 2022 turun kepada 6.2 peratus berbanding 2021, dengan anggaran seramai 487,576 isi rumah.

“Had kemiskinan relatif pada 2022 adalah RM3,169 dengan kadar kemiskinan relatif 16.6 peratus,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022 yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Putrajaya, semalam.

Mohd. Uzir berkata, dari sudut corak agihan pendapatan, had pendapatan kumpulan B40 yang merangkumi 3.16 juta isi rumah adalah RM5,249, sementara M40 pula merekodkan julat pendapatan antara RM5,250 hingga RM11,819.

Katanya, pendapatan isi rumah penengah tumbuh sederhana 2.5 peratus kepada RM6,338 tahun lalu. Pendapatan isi rumah purata pula meningkat 2.4 peratus kepada RM8,479.

Sementara itu kata beliau, terdapat 1.58 juta isi rumah dalam kumpulan T20 dengan pendapatan melebihi RM11,820. Kumpulan T20 memiliki 46.3 peratus daripada agihan keseluruhan pendapatan isi rumah, turun daripada 46.8 peratus pada 2019.

Kumpulan M40 pula memiliki 37.6 peratus manakala B40 16.1 peratus.

“Meskipun secara umumnya pendapatan isi rumah di Malaysia semakin meningkat, namun begitu jurang pendapatan antara etnik masih ketara. Jurang pendapatan antara ektnik Cina dan Bumiputera direkodkan pada kadar 1:0.71 berbanding 1:0.72 (2019). Jurang pendapatan antara etnik Cina dan India ialah 1:0.84 pada 2022, lebih baik sedikit berbanding 2019 (1:0.83),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN