SHAH ALAM: Penyokong Barisan Nasional (BN) diharapkan keluar mengundi dan menyokong calon gabungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) di bawah semangat Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula dengan sesi penamaan calon hari ini.
Menurut calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, kerjasama tersebut akan memberi manfaat kepada gabungan tersebut secara menyeluruh.
“Saya menyeru penyokong BN untuk menyokong calon gabungan PH-BN begitu juga dengan penyokong PH untuk mengundi calon BN.
“Saya sebagai calon PH di Sungai Kandis mengharapkan semua penyokong sebagaimana calon PH-BN daripada BN di Sungai Panjang, Sungai Air Tawar dan Sungai Burung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Beliau menjelaskan, terdapat banyak isu infrastruktur seperti perparitan, sampah dan jalan di kawasan Sungai Kandis dan ia ditangani dengan sistematik sejak beliau menjadi wakil rakyat.
Sementara itu calon DUN Sijangkang daripada BN, Mohd. Al Hafizi Abu Bakar memaklumkan, sebagai muka baharu beliau menawarkan diri untuk membawa pembangunan yang berterusan bagi kesejahteraan rakyat di kawasan Sijangkang.
“Semangat cinta kepada tanah air dan rakyat adalah pendorong utama saya untuk terlibat dalam pilihan raya dan berkhidmat sebagai wakil rakyat. Bagi mewakili DUN Sijangkang, hanya BN yang dilihat mampu mengutamakan kesejahteraan rakyat dan komited menjalankan tanggungjawab secara adil dan berintegriti,” ujarnya.
Katanya lagi, seseorang yang memahami keperluan dan aspirasi rakyat serta berupaya membawa perubahan positif bagi kawasan Sijangkang amat diperlukan pada masa ini.
“Kita perlu bersaing secara sihat dan beradab, menghormati pandangan dan kepercayaan masing-masing pihak. Saya percaya bahawa dengan semangat yang tulus, rakyat akan memilih calon yang tepat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat DUN Sijangkang,” katanya. – UTUSAN










