Tiada keperluan untuk jawab kepada ahli politik - Sanusi

Tiada keperluan untuk jawab kepada ahli politik – Sanusi

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL dan MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan tiada keperluan untuknya menjawab soalan ahli politik lawan yang dikemukakan terhadapnya melalui media kerana mereka bukan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap isu yang timbul.

Beliau mendakwa, ahli politik yang mengemukakan soalan terhadapnya sengaja ‘bermain-main’ sedangkan mereka sudah memiliki jawapan termasuk status dua warganegara China yang didakwa dibawa masuk untuk perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

“Sebenarnya jawapan itu mereka dah ada tetapi saja gatal mulut nak tanya. Orang itu sudah ditangkap serta dikurung dan siasatan sudah dijalankan bagi mendapat jawapan. Jadi yang tanya saya lagi pasal apa?

“Ini satu perbuatan yang tidak munasabah dan saja nak main-main. Apabila kita perhatikan semula semua operasi dijalankan ini, semakin hari semakin jelas ia telah dipolitikkan walaupun siasatan dijalankan oleh agensi penguatkuasa kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan mahu mengetahui daripada Muhammad Sanusi sendiri mengenai keberadaan dua warga China yang ditawarkan bekerja dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan mempunyai kaitan dengan projek REE.

Muhammad Sanusi bagaimanapun mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai status dua lelaki tersebut yang menyebabkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mempertikai jawapan berkenaan kerana yakin Menteri Besar sentiasa diberi taklimat mengenai projek dijalankan MBI.

Tambahnya, ketika ini beliau merasakan berlaku suasana yang membawa masyarakat untuk mengesyaki bahawa agensi-agensi terlibat disalah guna oleh kumpulan politik berkuasa bagi menimbulkan persepsi kononnya timbul salah laku dalam kalangan pihak tertentu.

“Agensi-agensi ini tak patut bertindak mengikut kehendak politik kerana mereka menjaga kepentingan negara dengan ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukan kepada elit politik yang berkuasa.

“Tidaklah bermaksud saya tak mahu disiasat tetapi siasatan itu mesti ada maksud yang jelas. Kerajaan mungkin boleh berubah dan kalaulah mereka yang berkuasa selepas ini buat ‘kerja’ sebegini pula, sampai bila nak selesai,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×