Inflasi mereda, tiada keperluan naikan OPR tahun ini – Pakar

Inflasi mereda, tiada keperluan naikan OPR tahun ini – Pakar ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpandangan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) tidak perlu menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) hingga hujung tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia ekoran kadar inflasi negara kini sudah berada di julat yang sesuai.

Menurut Ahmed Razman, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kelmarin me­nunjukkan kadar inflasi negara pada Jun 2023 mereda kepada 2.4 pera­tus dan merupakan yang terendah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ujar beliau, penurunan berke­naan merupakan sesuatu yang amat positif di samping indeks harga makanan turut turun daripada 5.9 peratus kepada 4.7 pera­tus.

“Sekurang-kurangnya dengan penurunan ini ia dapat memberi sedikit nafas lega kepada rakyat dalam mendepani kos sara hidup.

“Oleh itu, saya tidak merasakan MPC BNM perlu menaikkan lagi kadar OPR pada tahun ini kerana kadar inflasi sudah berada di julat yang sesuai,” katanya.

Ditanya mengenai faktor yang mendorong inflasi mereda pada Jun, Ahmed Razman berkata, pihaknya berpandangan ia mungkin disebabkan langkah yang diambil pengguna dalam berjimat cermat.

“Kemungkinan rakyat sudah mula mengamalkan perbelanjaan yang berhemah menyebabkan penurunan permintaan sekali gus tidak menyebabkan kenaikan harga barangan,” katanya.

Sementara itu, AmBank (M) Bhd. dalam nota penyelidikan berkata, sekiranya inflasi keseluruhan meningkat seba­nyak 0.2 peratus bulan ke bulan sepanjang baki tahun ini, bacaan setahun penuh adalah di paras 2.7 peratus.

Katanya, ia sekalibgus menunjukkan kadar inflasi utama berada di bawah unjuran bank berkenaan bagi tahun ini iaitu di antara 3.0 hingga 3.5 peratus.

“Mengenai inflasi teras pula, momentum menurun dijangka berterusan berikutan kesan daripada kenaikan kadar faedah yang dibuat oleh bank pusat.

“Oleh itu, kami tidak melihat sebarang keperluan mendesak untuk kadar faedah dinaikkan lebih tinggi dan kami mengula­ngi pandangan kami bahawa OPR akan berada pada tiga peratus sepanjang tahun,” katanya.

Julai lalu, MPC BNM mengambil langkah mengekalkan OPR pada kadar tiga peratus selepas membuat keputusan luar jangkaan pada Mei dengan menaikkan penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan itu sebanyak 25 mata asas.

Bagaimanapun jawatankuasa bank pusat itu dijadual mengadakan dua lagi mesyuarat bagi menentukan OPR bagi tahun ini iaitu pada September dan November depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×