ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah bakal melancarkan manifesto pada 27 Julai ini sebagai tawaran kepada rakyat negeri itu sekiranya mereka dapat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tawaran tersebut diyakini mampu membawa kestabilan dan kesejahteraan rakyat kepada setiap golongan termasuk nelayan, pesawah, penoreh getah, perindustrian, pelancongan, belia serta wanita.
Katanya, majlis pelancaran manifesto itu akan diadakan di tapak meletak kenderaan, Bandar Laguna Merbok bermula pukul 9 malam.
“Ada banyak perkara yang akan dibentangkan dalam manifesto itu. Manifesto tersebut akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh kerana kerajaan negeri ketika ini bukan saja gagal, malah tak buat apa-apa pun.
“Apa yang beliau (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) buat selain mengata orang lain? Kalau nak jadi pemimpin, kena serius kerana antara kepimpinan negeri dengan rakyat di tengah-tengahnya ada pegawai kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan program demi pembangunan negeri.
“Tetapi kalau tak serius selain tiada inovasi serta kreativiti, apa yang pegawai kerajaan nak buat? Sebab itu tak ada apa yang rakyat dapat walaupun sudah tiga tahun memerintah, yang kita dengar sekarang ini cuma isu kecurian unsur nadir bumi (REE) saja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Perpaduan Negeri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mahdzir yang juga Pengerusi BN Kedah berkata, pada majlis itu juga setiap calon BN dan PH akan turut berada di pentas sama bagi diperkenalkan lebih dekat kepada umum.
“Ketika ini segalanya berjalan lancar buat kami. Kami juga bersetuju untuk melaksanakan jelajah kepimpinan sepanjang tempoh berkempen dan satu jawatankuasa melibatkan kedua-dua gabungan akan ditubuhkan untuk menyelaras siri jelajah tersebut.
“Jawatankuasa itu akan menyelaras kedatangan pemimpin-pemimpin Pusat ke Kedah dan menentukan lokasi terbaik untuk mereka berkempen. Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan kita umumkan dari masa ke semasa,” katanya. –UTUSAN











