REE: SPRM tahan pegawai kanan Sanusi bantu siasatan

REE: SPRM tahan pegawai kanan Sanusi bantu siasatan

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyampaikan geran dan LPS kepada penerima bagi daerah Yan dalam majlis di Guar Chempedak, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung rasuah dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Penahanan suspek yang berusia 50-an dilakukan kira-kira pukul 8 malam tadi di pejabat SPRM Alor Setar bagi membantu siasatan dakwaan meminta wang rasuah kira-kira RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat.

Satu sumber memberitahu, secara keseluruhannya seramai empat suspek telah ditahan SPRM termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBI), pengarah syarikat dan pembantu kepada pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

“Perintah reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 26 Julai telah dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar,” katanya semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu di YAN: Muhammad Sanusi mengesahkan salah seorang pegawai kanannya ditahan SPRM bagi membantu siasatan.

Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan perkara itu pagi semalam tetapi tidak mengetahui secara lanjut butiran penahanan dan siasatan berkenaan kes apa.

“Dia pun tak maklum apa-apa (mungkin) dia tak boleh maklumlah kot. Usaha-usaha itu semakin hari semakin rancak nampaknya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi Daerah Yan di Guar Chempedak, di sini, semalam.

Ditanya sama ada penahanan itu ada kaitan dengan penahanan CEO MBI sebelum ini, Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan itu.

“Saya rasa macam itu, pasal satu-satunya hasil daripada brainstorm Pakatan Harapan untuk merebahkan Perikatan Nasional adalah isu REE sebab itu dia pulun tak apalah, buatlah. Kita tak ada masalah apa.

“Saya relaks sahaja dan suruh semua siapa yang dipanggil bagi keterangan untuk bekerjasama. Apa yang depa mahu, kita cerita. Kita tak ada apa nak dibimbangkan. Selama kita benar tiada apa yang perlu dikhuatirkan. Jangan takut, jangan gentar kita bukan bangsa penunduk,” katanya.

Rabu lalu, SPRM menahan reman seorang CEO MBI dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan melibatkan jumlah melebihi RM13 juta.

Beberapa hari kemudian, agensi itu menahan seorang lagi individu yang merupakan pembantu kepada pemilik syarikat yang menjadikan keseluruhan tangkapan kini seramai empat orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×