Baddrol sudah mula ‘panas badan’ jadi calon DUN Bukit Selambau?

Baddrol sudah mula ‘panas badan’ jadi calon DUN Bukit Selambau?

Baddrol Bakhtiar dilihat semakin aktif di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kebelakangan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas kapten bola sepak pasukan Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar dikatakan bakal dinamakan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Ogos ini.

Walaupun nama bekas pemain skuad kebangsaan itu belum diumumkan, gerak kerja sudah dilakukan oleh jentera Pas Bukit Selambau untuk memperkenalkan calonnya kepada masyarakat setempat.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Bukit Selambau merupakan kampung halaman pemain bola sepak berkenaan dan sudah dikenali rata-rata pengundi terutamanya golongan muda melalui karier bola sepaknya.

Menurutnya, Baddrol juga sudah mula mendekati masyarakat dan pengundi di kawasan tersebut sejak minggu lalu.

“Jika kita meneliti di media sosial dan mengikuti perkembangan serta pergerakan Baddrol, sudah tentu boleh menghidu kawasan mana yang beliau akan tandingi,” katanya.

Selain itu, Utusan Malaysia juga dimaklumkan Baddrol kerap dilihat bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sejak kebelakangan ini terutamanya membabitkan program bersama anak muda.

“Ia adalah sebagai sesi ‘pemanas badan’,” katanya.

Bagaimanapun, sumber memberitahu pencalonan hanya akan disahkan oleh Muhammad Sanusi selaku Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) pada Rabu ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, DUN Bukit Selambau menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu membabitkan calon Pas, Dr. Mohd. Ali Sulaiman; calon PKR, R. Summugam dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jaspal Singh.

Kerusi tersebut dimenangi oleh calon PKR, R. Summugam dengan majoriti sebanyak 5,635 undi.

Cakap-cakap bahawa Baddrol akan menyertai menjadi calon Pas pada PRN kali ini timbul apabila beliau mengumumkan ‘menggantung but’ pada minggu lalu untuk menukar kariernya.

Ia disahkan sendiri oleh Baddrol tiga hari lalu apabila dilaporkan berkata beliau menyertai politik kerana mahu mempertahan Muhammad Sanusi.

Baddrol, 35, berkata, selepas berjaya mengecap kejayaan dalam bola sepak, sudah tiba masanya melakukan ‘hijrah’ bagi terus menyumbang kepada agama, negeri dan rakyat Kedah.

“Ini adalah apa yang saya impikan selama ini, sebelum ini saya hanya bertemu penyokong di Stadium Darul Aman, namun tahun ini sempena Maal Hijrah, saya ingin berhijrah dari bidang bola sepak ke bidang baharu iaitu politik.

“Pertamanya saya ingin memperjuang agama dan bangsa saya, keduanya saya ingin mempertahan individu yang sedang diserang dan beliau juga tenang bertahan iaitu Menteri Besar kita, Muhammad Sanusi.

“Sebab itu saya berbesar hati untuk memperjuang dan mempertahan Kedah di bawah pentadbiran beliau,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mengumumkan gabungan itu bakal menampilkan dua bekas pemain bola sebagai calon untuk bertanding pada PRN Kedah, 12 Ogos depan.

Selain Baddrol, seorang lagi bekas pemain bola sepak adalah legenda hijau kuning dan bekas kapten Kedah era ‘Double Treble’ iaitu Radhi Mat Din yang dijangka bertanding di DUN Alor Mengkudu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×