BARISAN Nasional (BN) menunjukkan kesediaan dan keseriusan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini dengan menjadi parti pertama mengumumkan calon pada malam 21 Julai lalu.
Dalam Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan 31 calonnya di Kelantan; 27 Terengganu; 17 di Negeri Sembilan; 15 di Kedah; 12 di Selangor dan enam di Pulau Pinang.
Berdasarkan agihan kerusi tersebut, BN mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan (69% daripada 45); Terengganu (84% daripada 32); Negeri Sembilan (47% daripada 36), Kedah (42% daripada 36). Di Selangor dan Pulau Pinang, BN bertanding di 21% daripada 56 dan 15% daripada 40.
Antara tarikan utama calon-calon BN kali ini ialah empat bekas menteri besar/menteri, iaitu Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Terengganu, Datuk Seri Mohamad Hasan di Negeri Sembilan dan Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kedah.
Daripada 108 calon ini, 20 peratus terdiri daripada mereka yang pernah bertanding dan kalah tetapi mahu menawarkan diri mereka semula. Mereka termasuklah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di DUN Bertam dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin di DUN Gombak Setia.
Seorang penganalisis politik menyelar strategi ini dengan menyifatkan mereka calon kitar semula yang membebankan BN, dinosaur politik purba yang sudah tamat tarikh luput dan tidak lagi relevan serta membuatkan anak muda akan lebih menjauhkan diri daripada BN.
Seorang penganalisis politik lain pula menyebut meletakkan calon lama termasuk yang pernah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta calon anak muda kurang ditampilkan BN walaupun ramai muka baharu dan ini didakwa berisiko untuk menarik sokongan anak muda.
Sebenarnya, calon kitar semula ini tidak ramai, iaitu hanya 20 peratus sahaja. Pengalaman luas mereka sebagai menteri besar/menteri diperlukan untuk memandu golongan muda dan untuk meyakinkan pengundi bahawa kerajaan yang akan dibentuk boleh membuat kerja.
Sebahagian daripada calon kitar semula ini juga masih muda, termasuk Reezal Merican dan Megat Zulkarnain. Nasib mereka kurang baik kalah PRU15 yang bukan disebabkan penolakan kepada diri mereka sebagai individu tetapi kerana arus kuat Gelombang Hijau sahaja.
Sebab itulah walaupun kalah PRU15 mereka tetap diberikan jawatan penting dalam parti. Mahdzir, Ahmad Said dan Megat Zulkarnain ialah Pengerusi UMNO Kedah, Terengganu dan Selangor manakala Reezal Merican pula ialah Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO.
Umumnya, calon-calon yang dinamakan oleh BN adalah baik. Ia mencerminkan hasrat UMNO untuk meremajakan parti itu melalui penampilan 63 peratus calon muka baharu. Malah hanya 18 peratus sahaja daripada mereka adalah dalam kalangan penyandang kerusi.
SETIA
Lebih positif lagi ialah bila BN menampilkan sebanyak 87% calon yang memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi. Dari sudut sayap parti juga ada wakil masing-masing, 11 calon mewakili Wanita, sembilan calon mewakili Pemuda dan seorang calon mewakili Puteri.
Seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO kekal utuh dalam meneruskan perjuangan rakyat, bezanya kali ini UMNO bukan sekadar membawa panji-panji BN tetapi bersama dengan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan.
Ahmad Zahid sendiri menjelaskan bahawa kesemua 108 calon BN memahami aspirasi kerajaan perpaduan selaras dengan azam BN untuk membentuk kerajaan negeri yang berupaya menjamin pertumbuhan dan mempunyai keserasian serta persamaan dengan Kerajaan Persekutuan.
Pengumuman calon BN ini sendiri menjadi petunjuk baik kepada tahap kesepakatan antara BN dan PH. Antaranya ialah kesanggupan BN memberikan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu kepada PKR sebagai tukaran kepada lebih banyak kerusi DUN untuk BN.
Memang menjadi kelaziman senarai calon yang diumumkan akan menimbulkan ketidakpuasan hati mereka yang tidak terpilih, tambahan pula dalam PRN ini BN tidak dapat meletakkan calon di semua kerusi seperti biasa kerana terpaksa berkongsi dengan Pakatan Harapan (PH).
Oleh itu, pilihan yang ada adalah terhad. Keutamaan semestinya diberikan kepada penjawat utama parti di peringkat bahagian, khususnya ketua, timbalan ketua dan naib ketua bahagian. Ini menyebabkan ruang untuk diletakkan tokoh luar dalam PRN ini menjadi sempit.
Walaupun begitu, apabila pengumuman dibuat lebih awal ini adalah strategi yang baik. Ia memberi masa yang luas untuk pihak yang tidak tercalon merapatkan semula saf seterusnya membuat gerak kerja bagi membantu calon yang terpilih berbanding jika pengumuman dibuat saat akhir.
Satu contoh yang baik ialah Datuk Norsabrina Mohd. Noor selaku penyandang kerusi DUN Bandar Baharu yang tidak tercalon semula segera mengeluarkan kenyataan meminta sahabat-sahabat beliau supaya setia bersama perjuangan agar kejayaan mampu dimiliki oleh BN-PH pada PRN ini.
Begitu juga dengan Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera, yang tidak tercalon untuk mana-mana kerusi yang menyeru semua sahabat beliau supaya setia dan bersama dengan perjuangan kerana tunjang berorganisasi adalah taat dan wala’ kepada kepimpinan.
Apa yang penting ialah terdapat kesinambungan muka baharu dan lama dalam senarai calon UMNO. Lebih penting lagi, ia mencerminkan komitmen UMNO untuk terus bersetia dalam kerajaan perpaduan sama ada untuk menerajui atau menyertai kerajaan negeri yang akan dibentuk. – UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).











