SIK: Teka-teki bekas pemain bola sepak kebangsaan yang pernah menyarung jersi skuad Kedah dan Sabah, Baddrol Bakhtiar untuk menjadi calon Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini semakin terjawab.
Terbaharu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi bayangan negeri itu mungkin diwakili dua bekas pemain bola sepak, selain mereka akan turut menampilkan dua ahli akademi bertaraf profesor.
“Musim kedua perpindahan (penggal baharu), kita akan ada dua profesor untuk mewakili kita, pemain bola ada dah dua.
“Ustaz dan ulama tak payah kira (memang ramai) dan seorang panglima (merujuk dirinya) akan duduk di hadapan,” katanya berucap pada Himpunan Munajat Perdana di sini, malam tadi.
Baddrol, 35, yang dikatakan ahli Pas disebut-sebut akan ‘menyarung jersi’ PN pada PRN kelak selepas beliau menamatkan kontrak bersama pasukan bola sepak Sabah, baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain bola sepak kebangsaan adalah Radhi Mat Din yang pernah bertanding di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), lima tahun lalu.
Radhi yang juga bekas kapten pasukan Kedah disebut-sebut akan dipertaruhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu yang kini disandang Parti Amanah Negara (Amanah), manakala Baddrol dikatakan akan bertanding di DUN Bukit Selambau.
Bagaimanapun, identiti dua profesor berkenaan masih menjadi tanda tanya, namun ada pemerhati politik menyatakan salah seorang daripadanya pernah memegang jawatan tinggi di sebuah universiti tidak lama dahulu.
Dalam pada itu, Majlis Pengisytiharan Calon-Calon PN Kedah yang dijadual berlangsung hari ini di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar ditangguhkan kepada Rabu depan selepas ianya diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN. –UTUSAN










