PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak mampu bertahan seandainya Selangor serta Negeri Sembilan tumbang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hubungan antara kedua-dua parti itu juga dijangka goyah dan berantakan seandainya Pulau Pinang gagal mempertahankan dua pertiga majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, ini kerana pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak dilaksanakan dengan ikhlas antara kedua-dua parti demi memperjuangkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, DAP mahupun PH memperkudakan UMNO dengan harapan untuk memperoleh sokongan orang Melayu di kala UMNO sendiri telah kehilangannya.
“UMNO pula memperkudakan PH mahupun DAP dengan harapan untuk terus kekal relevan dalam era politik semasa di saat ia sudah kehilangan pengaruh dalam kalangan rakyat di samping untuk terus kekal menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan.
“Namun ‘perkudaan’ tersebut telah menjadi duri dalam daging kepada UMNO bilamana kebanyakan ahli UMNO secara diam-diam menolak gabungan dan kerjasama dengan DAP mahupun PH,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Muhammad Khalil, BN ketika ini sudah seperti hilang arah tujuan dan dipinggirkan terutama selepas parti komponen iaitu MCA serta MIC mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN kali ini.
“PKR yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya memperkudakan semua parti dalam gabungan tersebut dengan tujuan utamanya adalah untuk berkuasa dan amat berharap dapat terus menjinakkan DAP dan UMNO dalam usaha untuk mengekalkan kuasa dan gabungan idaman beliau ketika ini.
“Ini kerana beliau tahu jika gagal ‘menjinakkan’ DAP dan UMNO maka akan berantakanlah gabungan idaman beliau termasuk juga akan tumbanglah Kerajaan Persekutuan. Apa yang jelasnya jika dilihat secara mendalam, mereka saling memperkudakan sesama mereka dalam usaha untuk terus kekal berkuasa walau hakikatnya mereka saling curiga dan mempunyai agenda tersendiri,” ujarnya. – UTUSAN










