Jenamakan seluruh pendidikan melangkaui STPM - Utusan Malaysia

Jenamakan seluruh pendidikan melangkaui STPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dilapor menjenamakan beberapa istilah dalam sistem pendidikan tingkatan enam (T6) berkuat kuasa serta-merta. T6 kini dikenali sebagai kolej pra-universiti KPM (KPUK) dan jawatan pengetua ditukarkan kepada pengarah.

Istilah guru penolong kanan pula kepada timbalan pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar. Ini meliputi bahagian ‘luaran’ belaka.

Serentak, pengarah KPUK diberi autonomi bagi pengambilan pelajar T6 secara terus, sekiranya masih ada kekosongan. KPM akan meneliti kelonggaran syarat untuk ke T6.

Memuatkan artikel berkaitan…

Maka lebih tepat lagi, ia merupakan separa autonomi kerana masih bergantung kepada KPM yang juga sedang meneliti beberapa usaha lain termasuk meningkatkan bilangan guru cemerlang dan kualiti profesionalisme guru akademik T6.

Apa pun, usaha ini katanya tidak melibatkan perubahan gred perjawatan mahupun kelayakan akademik. Andaian ruang lingkup kerja masih sama walaupun istilah bertukar! Hanya diberi sedikit ‘keanjalan’ dalam proses pengambilan.

Langkah-langkah ini dikatakan bertujuan memberi hala tuju dan imej lebih prestij. Namun, agak kurang pasti apalagi jika setiap kemudahan, prasarana dan keperluan T6 belum dipertingkatkan sepenuhnya.

Ini memandangkan imej dan prestij lebih mudah melonjak jika kemudahan, prasarana dan keprofesionalan guru tertransformasi terlebih dahulu walaupun istilah dan nama institusi dikekalkan.

Yakni perubahan isi dan inti pati lebih jelas membawa kesan daripada pejenamaan luaran sahaja. Hakikatnya, soalan prasarana lebih lumrah menarik minat dan usaha untuk meningkatkan bilangan pelajar T6 bagi memenuhi kuota.

Dan seterusnya kadar kemasukan ke universiti melalui lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Lantas mengurangkan kadar keciciran, seperti dilaporkan.

Dengan kata lain, pembaharuan dari segi struktur dan penamaan semula tanpa anjakan dari segi isi serta kandungan tidak akan membawa kesan ketara, termasuk mengecilkan jurang keciciran dan sebagainya. Ternyata perubahan inti pati (dalaman) pendidikan itu maha penting untuk turut dipugarkan melewati penamaan semula seperti dilaporkan untuk pendidikan T6.

Tambahan pula autonomi diberikan sekadar untuk memberi laluan masuk ke T6 dan mematuhi kuota sahaja. Soal isi kandungan serta kerangkanya masih jauh ketinggalan di takuk lama yang lesu. Maknanya, perubahan nama kepada KPUK agak kontang dan sia-sia menampung kos perubahan.

Bak kata-kata Inggeris, Old wine in a new bottle! Satu pembaziran belaka. Sebaliknya, sudah barang tentu pemilihan istilah ‘kolej’ dan ‘pra-universiti’ menggantikan ‘tingkatan enam’ membawa tujuan tesendiri bukan sekadar sedap bunyi sahaja. Tegasnya, amalan autonomi dalam hal ini mampu melebar lebih luas berbanding pengisian ilmu untuk pelajar T6 sahaja.

Cara ini dapat perubahan imej dan prestij benar-benar dipugarkan seadanya. Istilah pelajar sebagai ganti sudah pun menampakkan tahap kematangan yang lebih tinggi untuk melaksanakan autonomi sepenuhnya. Apatah lagi selaku pensyarah mengatasi guru. Jika tidak, ia akan menjadi buah mulut sahaja kerana balangnya baharu, isi yang lama juga!

Walaupun terdapat laporan tentang perubahan kurikulum STPM yang sedang digubal, ia dikatakan hanya selesai tiga tahun lagi, 2026. Apakah rupanya nanti, belum pula diperjelaskan.

Tiada perincian. Namun apa yang memusykilkan, mengapa tiada penamaan semula sebagai misalnya SPUK – Sijil Pra-Universiti Kementerian Pendidikan – secocok nama baharu KPUK?

Bagai dirancangkan, bayangan T6 patut dilenyapkan terus. Lantas, corak penilaian lebih berbentuk peperiksaan ala-STPM turut diubah dalam format SPUK. Tidak lagi berpola peperiksaan kerana ramai pakar menganggapnya ketinggalan zaman. Yakni, mengapa bersusah payah menukar nama itu dan ini, walhal nadinya masih berdenyut nada lama? Agak sumbang!

SEKOLAH PERPADUAN

Lalu, sepertimana amalan di peringkat universiti, KPUK wajar melalui olahan citra rasa baharu berdasar kebebasan ilmiah dalam memilih dan mengasah minat pelajar berasaskan kepelbagaian. Lagi rencam pengajiannya, lagi tinggi kedudukan ilmu yang dilalui kerana ia menuntut tahap pemikiran lebih kental dan kalis masa hadapan.

Adakah ini juga akan diamalkan KPUK menjelang 2026? Sekurang-kurangnya pada tahap asas. Begitu juga dari segi pendekatan di lapangan, luar bilik darjah, makmal atau ruang perpustakaan misalnya.

Bahkan menuntut para pelajar ‘mencari’ ilmu serta ‘menggali’ hikmah yang tersisih di bangku sekolah hari ini bagi membolehkan pelajar berdikari atau berkarya lebih kreatif mengasuh bakatnya tersendiri.

Jadi, lahirlah insan rentas ilmu serta disiplin umpama Ibnu Sina atau al-Kindi semasa kegemilangan ilmu abad ke-10 di Andalusia, mengatasi Era Kegelapan Eropah dewasa itu dengan kemegahan Baitul Hikmahnya. Adakah KPUK mengarah kepada bibit-bibit sedemikian? Kerana ini sudah pasti mengilap satu imej dan prestij yang belum lagi kita tempuh dalam tempoh terkini.

Paling kurang mengasak KPUK ke arah suatu rumpun cerdik pandai bersatu padu natijah dari sebuah kerajaan perpaduan! Tidak langsung berbaur 3R yang kini dianggap sebagai duri dalam daging, apatah lagi sebagai penghambat perpaduan kaum, agama dan raja-raja Melayu.

Mungkinkah KPUK menjadi gerbang tersebut melalui enam rukun madani tertera secara rasmi? Mungkinkah ini juga memutikkan Sekolah Perpaduan dalam satu arus perdana tunggal untuk pendidikan yang diidam-idamkan selama ini sepertimana terbentuknya kerajaan perpaduan yang boleh mengetepikan dendam kesumat, dan sebaliknya mampu mengampu satu sama lain demi perpaduan semua?

Adakah bayangan Sekolah Wawasan yang beberapa kali ditolak oleh golongan agak fanatik, mula disedari dengan rasa segar bugar?

Semua ini membawa kepada sebab mengapa pejenamaan diutarakan wajar disokong. Tetapi bukan setakat hal-hal struktur dan proses luaran semata-mata tanpa mengambil berat soal lebih rumit – isi kandungan yang mewarnai segala-galanya.

Justeru, menjadikan pendidikan ejen perubahan yang tulen. Menangkis pelbagai kemelut yang melanda secara tiba-tiba. Tiada lagi keraguan malah dalam perpaduan, silang budaya memekarkan cogan negara, Bersekutu Bertambah Mutu yang lama diabaikan dalam ekosistem pendidikan semasa. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×