Anggun impi jadi pemain hoki negara - Utusan Malaysia

Anggun impi jadi pemain hoki negara

Anggun membabitkan diri secara aktif dalam sukan hoki sejak setahun lalu termasuk menyertai Kelab Hoki 4 State.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIBESARKAN dalam keluarga yang mementingkan gaya hidup sihat terutamanya terlibat aktif dalam bidang sukan memberikan satu kelebihan buat Anggun Cempaka Putri Shahrizal, 10.

Anggun terlibat dalam sukan hoki secara serius dengan menghadiri sesi latihan yang perlu dilalui pada setiap minggu, seawal usianya sembilan tahun.

Jarak kediaman di Nilai, Negeri Sembilan ke ibu kota, bukanlah halangan dalam usahanya mengasah bakat sukan.

Malah cabaran itu jugalah menjadi pembakar semangat untuk dirinya menjadi pemain hoki negara.

Kongsi ibunya, Siti Fatimah Abdul Ghani, 44, anak bongsunya itu mula terlibat secara serius dan konsisten dalam sukan hoki menerusi penyertaan dalam Kelab Hoki 4 State atau 4 State Hockey Club.

“Anggun mendaftarkan diri dengan kelab yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sesi latihan diadakan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad sepanjang tahun kecuali pada hari perayaan cuti umum.

“Beliau bertuah kerana mendapat bimbingan daripada jurulatih berkelulusan sains sukan dan mempunyai sijil dalam bidang itu daripada Institut Sukan Negara (ISN),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain menjadi atlet, Anggun turut bercita-cita menjadi doktor atau pensyarah. Mengambil inspirasi daripada bapanya, Dr. Shahrizal Mohd. Zin yang merupakan pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Nyata sokongan dan galakan keluarga merupakan asas kepada penglibatan Anggun kerana ia memerlukan disiplin, minat serta fokus dalam setiap latihan serta pertandingan yang disertai.

Kata Siti Fatimah, disebabkan sesi latihan hoki jauh daripada kediaman, Anggun memerlukan kesediaan psikologi, mental dan fizikal bagi mengikuti sesi latihan seawal pagi pada setiap hujung minggu tanpa gagal.

“Selain disiplin ia turut memerlukan semangat dan fokus dalam pelbagai aspek kehidupan seawal usia ini. Memandangkan di sekolah, tiada sukan hoki ditawarkan, maka Anggun perlu menyertai sukan ini menerusi kelab yang ternyata jauh dari tempat tinggal.

“Sesi latihan kerap dijalankan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Stadium Hoki Tun Razak serta Stadium Hoki Bangsar di Kuala Lumpur. Kesemua lokasi latihan ternyata jauh dari tempat tinggal namun atas sokongan kami maka Anggun dapat menjalaninya dengan baik dan lancar.

“Kejayaan ini bukan hanya dilihat pada pencapaian semata-mata tetapi bagaimana ia membentuk disiplin tanpa mengganggu fokus pembelajaran di sekolah,” tuturnya.

Selain Anggun, dua cahaya mata Siti Fatimah turut terbabit dalam sukan iaitu ragbi.

Berlainan jenis tetapi setiap satu menuntut disiplin dan komitmen.

“Anak sulung saya Puteri Nur Camellia,17, pemain kebangsaan bagi sukan Ragbi 7s Bawah 18 (B-18) pada 2022, manakala anak kedua pula, Chairil Anwar Danish, 13 tahun aktif dalam sukan ragbi dan karate.

“Mereka memberi contoh baik kepada Anggun untuk aktif dalam bidang sukan,” ujar Siti Fatimah yang berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas mengenai rungutan Anggun dalam melalui rutin latihan, kata Siti Fatimah, Anggun tidak pernah merungut sebaliknya menyifatkan ia sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

BAKAT DEKLAMASI SAJAK

Di luar dunia sukan lasak, si cilik ini memiliki bakat semula jadi dalam bidang lisan tradisional iaitu sajak.

Minat bersajak sejak tadika itu diteruskan ke sekolah rendah malah pernah dinobatkan sebagai Naib Johan Bakat Cilik Putra anjuran UPM pada 2021.

Kecemerlangan diri turut melayakkan Biro Pengawas mewakili Tahun 4 ini diangkat sebagai Ikon Pemimpin Muda pada 2022 dan sering diberikan peranan sebagai pengacara majlis di sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×