UK, BUMI RATU, HARI PERTAMA 2021
SAYA sangat bersusah-payah menyusun setiap patah perkataan dalam bahasa Inggeris agar mat salih itu dapat memahami setiap butir yang saya ingin disampaikan. Walaupun agak tunggang-langgang tatabahasanya, namun saya masih cuba untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikan. Pada saya, memadai dia faham dengan apa yang ingin saya sampaikan. Yang seronoknya, saya tidak lihat langsung riak wajah atau raut muka sinisnya.
Dua tahun pengalaman menetap di negara ini menjadikan saya sangat selesa dan yakin berkomunikasi dengan rakyat tempatan tanpa ada rasa rendah diri. Rata-rata dalam kalangan mereka sangat membantu ketika kita cuba sedaya-upaya bertutur dalam bahasa mereka.
Ini dibuktikan lagi ketika sedang menghadapi Ujian Memandu United Kingdom (UK). Pegawai penilai sangat meraikan dengan menggunakan bahasa yang mudah serta bertutur sepatah demi sepatah agar saya boleh memahaminya tanpa ada salah faham pada setiap arahan didiberikan. Sungguh saya menghargai jasa baiknya dalam memahami keadaan saya yang ketika itu sangat nervous kerana sedang menghadapi test, serta di saat itu juga perlu berkomunikasi dalam bahasa yang bukan bahasa ibunda kita.
Seperti kebiasaan di mana-mana negara, dialek yang berbeza-beza pasti ada. UK turut mempunyai pelbagai dialek dan kepelbagaian tersebut juga memberi masalah dari sudut kefahaman kepada saya. Kesukaran untuk memahami setiap butir perkataan sangat dirasai sekiranya dialek-dialek yang jarang didengari menjadikan saya perlu fokus setiap apa ingin disampaikan.
Walaupun memerlukan beberapa ulangan untuk difahami apa yang mereka ingin sampaikan, namun mereka tidak pernah jemu ulang setiap ayat supaya saya mampu faham apa yang ingin disampaikan.
JORDAN, TANAH ARAB, HARI PERTAMA 2005
Dengan pengalaman hampir sama, bahasa Arab bukan bahasa utama, sudah tentu agak struggle untuk saya berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Sekali lagi ingin saya tekankan, saya langsung tidak melihat riak wajah sinis mereka walaupun susunan ayat dalam bahasa Arab yang telah saya tuturkan berbunyi lahjah dialek Melayu dengan tatabahasanya ‘ke laut.’
Empat tahun di sana, jujur saya katakan, saya sangat selesa bersembang-sembang dalam bahasa Arab hanya dengan rakyat tempatan. Dan seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada berbahasa Arab dengan rakan senegara kerana khuatir dan takut sekiranya tersalah tatabahasa. Kalau dengan rakan Arab ini, mereka lebih terbuka dan sangat meraikan sekiranya tersalah tatabahasanya.
BEZA MEMANG BERBEZA, SAMA MEMANG SAMA
Beza memang berbeza. UK menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, manakala Jordan menggunakan bahasa Arab. Sama memang sama. Warga tempatan di UK dan warga tempatan di Jordan mempunyai persamaan dari segi budaya meraikan dan membantu warga asing yang sedang berusaha menggunakan bahasa mereka tanpa prejudis.
Pengamatan ini tidak terhenti terhadap kedua-dua negara ini sahaja, malahan setiap negara yang saya lawati seperti Sepanyol, Hungary, Austria, Jerman, Romania dan banyak lagi. Saya cuba bereksperimen dengan menjadikan perkataan ‘selamat’ datang dalam bahasa mereka, kemudian saya sapa setiap pemandu teksi di negara berkenaan. Hasilnya, reaksi mereka sangat positif dan ada kalanya kami diberikan diskaun ketika ingin membayar tambang.
Benarlah kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu, tenggelam. Saya sangat khuatir sekiranya cubaan menggunakan bahasa mereka sebagai sapaan mesra disambut negatif dan mungkin merugikan saya.
Namun, ternyata meleset sama sekali, wajah mereka menunjukkan kegembiraan walaupun hanya perkataan ‘selamat datang’ dan ‘selamat tinggal’ dalam bahasa mereka sepanjang perbualan.
Saya terfikir, sekiranya saya warga Britain, bermata biru, berkulit cerah dan tinggi lampai dan cuba bertutur bahasa Melayu di Malaysia, apakah akan jadi kepada saya? Ataupun saya warga Malaysia, sedang cuba belajar bahasa Inggeris dan praktiskan bahasa itu dengan rakan-rakan yang jarang-jarang berbahasa Inggeris, apa akan terjadi kepada saya?
Ditertawakan, dipulaukan, diperbetulkan di khalayak ramai dan pelbagai lagi anasir-anasir negatif menjadikan kita takut untuk mencuba bertutur dan belajar bahasa asing. Kini, satu lagi anxiety wujud, iaitu tidak pandai bahasa asing dikatakan tidak cerdik dan ditularkan di media sosial secara umum.
Saya sangat risau sekiranya budaya ini terus merebak, masyarakat akan semakin takut untuk cuba dan mencuba berbahasa asing kerana budaya membuka pekung dan aib orang lain di media sosial sudah menjadi kebiasaan dan kita akan terus takut dan menjadi seorang yang terlalu rendah keyakinan diri. Dari perspektif Islam, budaya mentertawakan atau menghina seseorang itu tidak kira apa kelemahannya secara jelasnya adalah dilarang sama sekali.
Merujuk kepada artikel Al-kafi li Al-fatawi bilangan 288, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jika ada mana-mana perkataan yang bermaksud untuk menyakiti hati seseorang, maka ia termasuk dalam kategori perbuatan yang diharamkan dan ia jelas dinyatakan dalam surah al-Hujurat ayat 11, maksudnya: “Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.” Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka amatlah buruknya sebutan nama fasik kepada seseorang sesudah ia beriman.
Bersempena Awal Muharam tahun baharu 1445H, sebagai seorang manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun demikian, setiap kesilapan yang dilakukan hendaklah kita perbaiki semula.
Berazam agar kita fikir dahulu baik atau buruk sesuatu perkara sebelum bertindak supaya setiap keputusan buat tidak mendatangkan masalah kepada kita dan orang lain. Peka dengan sekeliling dan sentiasa tahu setiap tutur kata kita, perbuatan kita dan raut wajah kita sentiasa terkawal agar tidak menyakiti hati orang lain.
Kami membayangkan, setiap anak-anak Malaysia bebas berkomunikasi dengan pelbagai bahasa tanpa ada rasa takut dan kemudiannya mereka ini bakal pergi ke serata dunia mengembangkan kepakaran masing-masing dan diterima di negara itu dek kemampuan mereka berbahasa asing. Alangkah indahnya, kepakaran Malaysia di mana-mana sahaja di pelosok dunia.
Mari kita mulakan dengan raikan rakan-rakan kita yang cuba berbahasa asing utama dunia dahulu tanpa prejudis serta bersama-sama menyokong dari sudut tidak mentertawakan dan tidak berniat menjatuhkan air muka mereka. Kita dapat manfaat, mereka dapat manfaat dan jadikanlah ia sebagai budaya kita demi memberi manfaat kepada sejagat. – UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Edinburgh, Scotland.











