PRN: Bekas kapten Kedah calon PN undang teka-teki

PRN: Bekas kapten Kedah calon PN undang teka-teki

Penyokong Pas mengangkat replika kereta kebal sebagai bahan kempen menjelang PRN di Kampung Kedai Buluh, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENARAI 36 calon yang mewa­kili Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini bersama lima negeri lain akan diumumkan secara rasmi pada Jumaat ini.

Pengumuman tersebut difahamkan akan dibuat di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar pada sebelah malam.

Dua Ahli Parlimen yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Guar Chempedak dan Lunas dijangka tidak berada dalam senarai tersebut.

Mereka adalah Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Datuk Azman Nasrudin yang kedua-duanya kini adalah Ahli Parlimen, masing-masing di Parlimen Kubang Pasu dan Padang Serai.

Perkara tersebut pernah diberi bayangan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

Seorang lagi penyandang kerusi DUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee turut dipertaruh di kerusi Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, namun beliau tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Taufiq Johari.

Sementara itu, PN dikatakan hampir pasti menamakan bekas pemain bola sepak Sabah yang juga bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, 35, sebagai calon di satu kerusi di selatan Kedah.

Baddrol yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan menjadi sebutan ekoran langkah beliau menamatkan kontrak bersama pasukan bola sepak Sabah baru-baru ini dan dikatakan akan pulang ke negeri Jelapang Padi.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi pula akan mempertahan kerusi DUN Je­neri yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 2,455 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PKR.

Kerusi DUN Belantek yang terletak bersebelahan Jeneri pula akan menampilkan muka baharu selepas penyandangnya, Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia 14 Jun lalu.

Pas yang menunjangi kerajaan PN Kedah ketika ini dijangka mendominasi senarai calon apabila akan bertanding di sekurang-kurangnya 20 kerusi termasuk mempertahan 15 kawasan DUN yang dimenangi pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×